"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

   

Peribahasa Inggeris ada mengatakan "a picture paints a thousand words" atau dalam erti kata lain sebuah potret itu menceritakan seribu kata-kata tanpa perlu berbicara. Pepatah ini dikatakan diceduk daripada kata-kata hikmah Cina yang berkata, "One picture is worth ten thousand words."

Ambil contoh gambar rajah yang dipaparkan di atas. Ia diambil dari sebuah blog, stocktube.blogspot.com. Gambar ini menarik kerana ia boleh membawa pelbagai interpretasi dan makna, bergantung kepada bagaimana seseorang itu melihat dan mentafsirkannya menurut fakta yang maklumat yang ada pada seseorang itu.

Secara kasar atau harfiah ia memaparkan empat gambar pemimpin negara, dua orang ayah dan dua orang anak. Seorang sudah meninggal dunia dan tiga lagi masih hidup. Salah seorang yang masih hidup sudah pun pencen sejak 2003.

Gambar tersebut juga mempunyai garisan-garisan yang menunjukkan keterkaitan di antara disetiap gambar tersebut.

Yang teratas ialah gambar Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, bekas Perdana Menteri Malaysia kedua dan ayah kepada Perdana Menteri baru dan yang keenam negara, Datuk Seri Najib. Mengikut putaran jam, di bawah beliau ialah gambar Datuk Mukhriz Mahathir, anak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia keempat. 

Gambar ayah beliau terletak bertentangan dengan gambarnya. Datuk Mukhriz baru sahaja dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri walaupun kalah dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda Umno dengan Khairy Jamaluddin dan Dr Khir Toyo.

Khairy ialah menantu kepada seorang lagi Perdana Menteri iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang kelima bagi negara.

Kedudukan pemimpin-pemimpin tersebut dalam susunlapis senarai Perdana Menteri dinyatakan dalam ayat yang agak kecil di atas setiap gambar. Umpamanya Tun Razak sebagai Perdana Menteri kedua dan seterusnya.

Walau bagaimanapun bagi Datuk Mukhriz yang juga disebut sebagai Perdana Menteri simbol tanda tanya diletakkan pada penghujungnya. Mungkinkah ini membawa maksud beliau kini diasuh dalam tradisi keperdanamenterian seperti juga ayahnya dan bakal pemimpin tertinggi negara pada satu hari kelak? 

Ditengah-tengah gambar itu terpampang satu ayat, "The making of a dynasty" atau pembikinan sebuah dinasti. Menurut Kamus Dewan Bahasa edisi keempat istilah dinasti bermaksud "jurai raja-raja pemerintah yg berasal daripada satu keturunan atau keluarga atau tempoh sesebuah negeri diperintah oleh raja-raja yg berasal daripada satu keturunan".

Jadi bolehlah kita simpulkan perkataan dinasti yang dimaksudkan di dalam gambar tersebut memberi bayangan bahawa hubungan antara keempat-empat gambar tersebut adalah hubungan pemerintahan atau kekuasaan yang diperturunkan dari satu generasi kepada generasi yang dibawahnya.


Disebelah setiap gambar pula terdapat seakan-akan ayat monolog yang menggambarkan tokoh-tokoh dalam gambar tersebut berkata-kata. Mungkin ini bertujuan untuk menjelaskan lagi maksud tersirat yang terkandung disebalik gambar-gambar itu. Sungguhpun kata-kata itu boleh dianggap diucapkan secara berseloroh namun ia juga membawa maksud yang lebih daripada itu atau dalam istilah bahasa Inggerisnya mempunyai "double meaning".

Mari kita kaji dengan lebih mendalam ayat-ayat dalam "bubble" atau bulatan setiap ayat pada setiap gambar.

Bermula dengan Tun Razak beliau berkata,"Welcome back to Umno, Mahathir". Sejarah perjalanan dunia politik Tun Dr Mahathir mencatatkan beliau pernah dipecat dari jawatan ahli majlis Tertinggi Umno pada 12 Julai 1969 oleh presiden parti ketika itu yang juga Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj. Ini kerana beliau telah mengedar secara terbuka suratnya di mana beliau telah mengkritik hebat dasar dan kepimpinan Tunku yang didakwa lebih menguntungkan rakyat keturunan Cina. Ini ekoran peristiwa berdarah 13 Mei 1969 selepas kekalahan teruk kerajaan Perikatan Umno-MCA-MIC pada pilihan raya umum. Akhirnya Tun Dr Mahathir dipecat dari parti pada 26 September 1969.

Setelah Tunku meletak jawatan 1970 Tun Razak mengambil alih sebagai Perdana Menteri dan beliaulah antara pemimpin Umno yang berusaha keras melobi supaya Tun Dr Mahathir diterima kembali sebagai ahli Umno. Perlu dikata juga bahawa bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Harun Idris juga berjasa besar terhadap mantan Perdana Menteri dalam usaha membawa beliau kembali ke pangkuan Umno. Tun Dr Mahathir diterima semula sebagai ahli umno pada 7 Mach 1972. (Pada 19 Mei 2008 beliau keluar daripada Umno atas kerelaannya sendiri kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan penggantinya, Tun Abdullah. Beliau kembali semula kepada Umno sehari selepas Datuk Seri Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri).

Pisang emas di bawa belayar 
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi di bawa mati

Mungkin atas prinsip "hutang budi di bawa mati' inilah maka Tun Dr Mahathir dalam gambar rajah itu mengungkapkan kata-kata "TQ (thank you) Razak Senior, I'll make sure your son gets the reward". Apa yang disebut dalam monolog rekaan itu nampaknya ada kebenaran.

Setelah Tun Razak meninggal dunia di kota London pada 14 Januari 1976, sepupu beliau, Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri ketiga. Tun Dr Mahathir pun dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran.

Datuk Seri Najib yang ketika itu berusia 23 tahun dan masih menuntut disebuah universiti di United Kingdom diseru pulang bagi mengisi vakum politik yang wujud daripada kematian bapanya.

Beliau terus dicalonkan sebagai ganti ayahnya di Pekan, Pahang sebagai Ahli Parlimen dan dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebaik sahaja memenangi pilihan raya kecil yang diadakan.

Karier politik Datuk Seri Najib kembang mekar bak bunga mawar di taman sari di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir yang mengganti Tun Hussein pada 16 Julai 1981 sebagai Perdana Menteri.

Kerjaya politiknya bukan lagi maju mengikut peredaran masa tetapi boleh disifatkan melangkau masa seperti "quantum leap" kerana pada usia 29 tahun beliau dilantik menjadi Menteri Besar Pahang, menjadikan beliau Menteri Besar termuda pernah dilantik kejawatan tersebut.

Giliran Tun Dr Mahathir pula untuk membalas budi Tun Razak dengan mengasuh anak mentor beliau setapak demi setapak meniti hamparan dunia politik yang sudah dilakar untuknya sejak 1976.  

Setelah berjaya Datuk Seri Najib digarap sebagai Perdana Menteri oleh mentornya, Tun Dr Mahathir, tiba giliran beliau pula menyatakan dalam dialog yang direka sebagai berkata,"TQ (thank you) Mahathir Senior,I'll make sure your son gets the reward". Reward atau habuan apa yang dimaksudkan disini? Susah tentu jawatan Perdana Menteri yang disandang Datuk Seri najib satu hari kelak akan menjadi hak milik Datuk Mukhriz pula. Objektif itu yang disasarkan oleh anak Tun Dr Mahathir itu apabila beliau berkata dalam ayat fantasi itu," Najib, remember what you promised my 
papa".

Setelah tamat lapisan pertama yang terdiri dari lima Perdana Menteri, kini masuk era generasi kedua mengambil alih tampuk pemerintahan negara bermula dengan Datuk Seri Najib.

Tali temali kekeluargaan yang mengikat tiga daripada keluarga Perdana Menteri ini semakin kukuh dan erat dalam generasi kedua ini.

Tun Razak dan Tun Hussein adalah biras. Anak Tun Razak menjadi Perdana Menteri sementara anak Tun Hussein, Datuk Seri Hishammuddin dilantik Menteri Dalam Negeri dalam kabinet sepupunya. Datuk Mokhzani, adik kepada Datuk Mukhriz pula berkahwin dengan Mastisa Hani Mohamed, anak kepada Datuk Mohamed Abid iaitu cucu pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar. 

Maka berkait rapatlah melalui tali hubungan perkahwinan jaringan yang wujud diantara keluarga Tun Razak, Tun Hussein dan Tun Dr Mahathir.

Seperti juga dalam konsep "multi level marketing" yang diamalkan oleh sistem perniagaan jualan langsung, prinsip tolong menolong antara ahli adalah tunggak kejayaan.

Tidak mustahil kaedah yang sama digunapakai dalam bidang politik. Kini jaringan Perdana Menteri sudah tersedia, hanya menunggu masa untuk dipenuhi oleh calon yang sudahpun dikenalpasti sejak dahulu. Ia bukan lagi menjadi permainan nasib atau takdir semata-mata tetapi satu acuan yang telah direka sejak lama oleh pendokong-pendokong sistem terdahulu.

Datuk Mukhriz hanya perlu bersabar dan belajar untuk tidak melawan sistem, nama beliau sudah naik tunggu ambil tiket sahaja. 

-TVAntara-

Tiada ulasan: