"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Letak Calon: PAS Permatang Pauh putus malam ini

 Abdul Rahim Sabri 
Jawatankuasa PAS Kawasan Permatang Pauh akan bermesyuarat malam ini bagi membuat keputusan muktamad berhubung cadangan untuk meletakkan calon bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Penanti, 31 Mei depan.

"Kita tengok reaksi AJK kawasan dan kita kumpul maklumat (mengenainya)," kata Yang Dipertuanya, Omar Hassan kepada
Malaysiakini.

"(Setakat ini) kita tetap berpegang dengan keputusan usul kawasan (untuk PAS bertanding di Penanti). 

"Kita tidak akan berganjak, sebab kita bawa hasrat ahli-ahli (akar umbi)," katanya lagi.

Penanti adalah antara tiga DUN dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh yang diwakili oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dua lagi DUN di situ ialah Seberang Jaya dan Permatang Pasir.

Omar berkata, usul untuk meletakkan calon PAS bertanding di Penanti dibuat dalam mesyuarat PAS kawasan tersebut pada 19 April lalu.

Dilaporkan, kesemua 115 perwakilan sebulat suara menyokong usul agar PAS bertanding dalam pilihanraya kecil DUN tersebut.

Jumpa Abdul Hadi

Pada hari berikutnya, kata beliau, mereka mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kuala Lumpur untuk memaklumkan mengenai usul tersebut.

Setakat ini, kata Omar, pihaknya belum menerima apa-apa maklum balas dari Abdul Hadi yang juga ahli Parlimen Marang.

"PAS kawasan ini juga belum menerima sebarang arahan dari PAS Pusat untuk bersiap sedia menghadapi pilihanraya kecil DUN tersebut," kata Omar.

Semalam Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) mengumumkan penamaan calon bagi pilihanraya kecil tersebut diadakan pada 23 Mei depan.

Kerusi DUN Penanti dikosongkan ekoran perletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin, yang juga timbalan ketua menteri Pulau Pinang.

Dilaporkan Timbalan Ketua Perhubungan PKR Pulau Pinang, Dr Mansor Othman antara pemimpin parti itu yang disebut-sebut bertanding dalam pilihanraya kecil itu.

Anwar yang juga ketua umum PKR, dijadual mengumumkan di Pulau Pinang malam ini, calon PKR yang akan bertanding di Penanti.

Menurut Omar lagi, jawatankuasa PAS kawasan tersebut juga, akan berbincang malam ini, tentang penyusunan program, termasuk menyusun semula kepimpinan kawasan tersebut.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: