"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keputusan Muktamad Hanya Selepas 19 Mei

Keputusan muktamad sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, M. Manoharan akan melepaskan jawatannya hanya akan diketahui selepas 19 Mei depan.
Beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh pada tarikh tersebut bagi membincangkan hasrat yang beliau telah luahkan untuk meletakkan jawatan akibat kekangan di bawah tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menghalang beliau untuk berkhidmat kepada rakyat dan pengundi Kota Alam Shah.

Manoharan hari ini mengeluarkan kenyataan yang menyatakan beliau sedang menimbangkan untuk meltak jawatan sebagai ADUN Kota Alam Shah.

Kenyataan tersebut dibaca kepada media oleh isteri beliau, S. Pushpaneela selepas melawat Manoharan di Pusat Tahanan Kamunting, Taiping pagi tadi.

Puspaneela mengesahkan bahawa suaminya akan bertemu dengan Karpal bagi membincang sama beliau perlu meletak jawatan atau terus menjadi wakil rakyat yang ditahan di bawah ISA.

Manoharan, 49, yang juga penasihat undang-undang Hindraf dicalonkan oleh DAP Selangor untuk bertanding di kerusi tersebut ketika beliau ditahan di bawah ISA.

Beliau mengalahkan calon Barisan Nasional daripada Gerakan, Ching Su Chen dengan majoriti 7,184 undi.

Dalam komennya kepada TV Antara, Exco Kerajaan negeri Selangor, Teresa Kok berkata beliau tidak bersetuju sekiranya ADUN Kota Alam Shah itu mahiu meletak jawatan.

"Ketika kami mencalonkan beliau bertanding di Kota Alam Shah beliau sudah pun ditahan di bawah ISA dan rakyat pun tahu keadaannya.

"Walau bagaimanapun rakyat tetap menyokong beliau untuk memenangi kerusi tersebut dan mereka pun sedar Manoharan mungkin tidak dapat memberi khidmat sebagai mana patutnya sebagai wakil rakyat mereka.

"Kami dalam Pakatan Rakyat akur mengenai keadaan yang beliau lalui dan sebab itu kami bersepakat membantu isteri beliau untuk sama-sama memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat Kota Alam Shah," jelas beliau ketika dihubungi.

Teresa yang juga pernah ditahan selama seminggu di bawah akta yang sama tahun lepas menyifatkan ISA sebagai satu undang-undang yang lapuk dan usang.

"Sepatutnya sudah lama ISA dimansuhkan kerana ia satu undang-undang lapuk dan kuno. Kerajaan Selangor dalam sidangnya tidak lama dahulu meluluskan usul agar akta ini dimansuhkan dan kami merupakan satu-satu Dewan Undangan Negeri yang berbuat demikian," katanya lagi.

Manoharan ditahan pada 31 Disember 2007 kerana didakwa terbabit dalam penganjuran protes jalanan di Kuala Lumpur pada 25 November tahun yang sama serta membuat kenyataan berbau hasutan terhadap kerajaan.

Beliau gagal buat kali kedua dalam usaha untuk dibebaskan daripada tahanan ISA di Pusat Tahanan Kamunting, Taiping.

apabila Hakim Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman, Datuk Augustine Paul dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin membuat keputusan sebulat suara untuk menolak rayuan Manoharan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan habeas corpus yang dikemukakan tahun lepas.

Dalam kehakiman tersebut, panel hakim berkata mereka berpuas hati bahawa Manoharan telah gagal untuk menyakinkan mahkamah bahawa penahanannya adalah tidak sah.

Manoharan sebelum ini memfailkan permohonan habeas corpus pada kali pertama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan ditolak pada 26 Disember 2007.

Rayuannya di Mahkamah Persekutuan juga ditolak pada 14 Mei tahun lepas.

Beliau memfailkan satu lagi permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Ipoh bagi mencabar kesahihan perintah tahanan bertarikh 13 Disember 2007 yang dikeluarkan mengikut Seksyen 8(1), ISA tetapi sekali lagi ditolak oleh mahkamah pada 8 September tahun lepas.

Pada 12 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekali lagi menolak permohonan habeas corpus.
-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: