"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis Iran Keterlaluan

Surai perhimpunan pelajar Iran, polis keterlaluan
Mohd Khalil Abdullah

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Hrkh) - Tindakan polis dalam menyuraikan perhimpunan secara aman yang dilakukan oleh para pelajar Iran di pekarangan pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Jalan Semantan,Kuala Lumpur semalam dianggap keterlaluan.

Menurut Naib Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainudin tindakan pihak polis dengan melepaskan gas pemedih mata adalah keterlaluan dan ianya hanya memberikan imej negatif negara di peringkat antarabangsa.

"AMK merasakan tindakan PDRM dengan melepaskan gas pemedih mata adalah keterlaluan dan ianya hanya memberikan imej negatif negara di peringkat antarabangsa.

"PDRM sewajarnya perlu mengawal dengan baik perhimpunan ini kerana isu yang diperjuangkan oleh pelajar Iran tersebut tiada kena-mengena dengan negara ini,"jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Tambahnya, tindakan PDRM melepaskan gas pemedih mata dalam kejadian tersebut adalah terburu-buru serta memberikan pandangan negatif masyarakat antarabangsa.

"AMK berpendapat PDRM boleh menyuraikan perhimpunan aman ini dengan cara diplomasi dan berhemah tanpa perlu membazirkan peluru gas pemedih mata yang hanya akan menimbulkan suasana kelam-kabut,"katanya.

Beliau juga meminta Menteri Kementerian Dalam Negeri untuk memberikan penjelasan berkenaan insiden melepaskan gas pemedih mata ini dan jika perlu memohon maaf secara terbuka kerana dikhuatiri boleh menjejaskan hubungan akrab negara Islam antara pihak kerajaan Malaysia dan juga pihak kerajaan Iran.

"Hak untuk berhimpun secara aman oleh mana-mana pihak perlu dihormati kerana ia sudah termaktub di dalam perlembagaan negara ini. Justeru pihak PDRM digesa bersama-sama mempertahankan dan menjunjung tinggi prinsip keluhuran perlembagaan,"tegasnya.

Tiada ulasan: