"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hak wakil rakyat dinafi untuk bantu rakyat - Dr Lo' Lo'

Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Hrkh) - Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali membidas sikap kerajaan pusat terutamanya Kementerian Wilayah Persekutuan yang menafikan hak wakil rakyat Pakatan Rakyat berhubung peruntukan membantu pengundi di kawasan yang dimenangi mereka.


Mencelah semasa perbahasan Dato' Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Pengkalan Chepa) berhubung Rang Undang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Dewan Rakyat, beliau menyatakan tindakan itu sama sekali menafikan hak rakyat mendapat bantuan dari wakil rakyat.

Dr Lo' Lo' berkata, bukan sahaja wakil rakyat dinafikan untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan kerana masalah politik, malah wakil-wakil rakyat juga dinafikan hak untuk menyelesaikan masalah rakyat melalui saluran mereka.

Walhal hasil-hasil cukai telah dikutip bukan sahaja membabitkan negeri BN atau penyokong BN sahaja, sebaliknya juga membabitkan kerajaan Pakatan Rakyat dan penyokong mereka, katanya.

"Sebanyak RM1 juta misalnya pada tahun 2008 diperuntuk kepada setiap wakil rakyat, tetapi ke mana perginya peruntukan itu? Kita sebagai wakil rakyat dan Ahli Parlimen yang dilantik secara sah melalui pilihan raya dinafikan langsung.

"Malah di Wilayah Persekutuan, Yang Berhormat Menteri Wilayah dengan secara terbukamenyatakan hanya tandatangan daripada Ketua Bahagian Umno sahaja yang laku ataupun diterima di peringkat Kementerian Wilayah Persekutuan dan di DBKL," ujarnya.

Bagi beliau tindakan itu sebenarnya hanya menafikan hak rakyat yang menyebabkan rakyat terus berada dalam keadaan tertekan lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi hari ini semakin menurun.

Beliau seterusnya bersetuju dengan bantahan ahli Parlimen Pakatan Rakyat berhubung pindaan yang dilakukan dalam Rang Undang-Undang LHDN 2008 yang hanya mementingkan soal mengenai kedudukan tujuh ahli Lembaga LHDN.

Bantahan ini turut dilaungkan Dr Dzulkifly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) yang menyatakan pindaan Rang Undang-undang LHDN hanya bermotifkan menyerahkan kuasa besar kepada Menteri Kewangan sahaja.

Sebaliknya perihal semangat atau memperkasakan LHDN dalam kontaks pelaksanaan gerak kerja badan itu selain pemantauan hasil mashyulnya lansung tidak dititikberatkan kerajaan, katanya.

Ini menyebabkan hasil sebenar negara yang seharusnya diagihkan semula kepada rakyat bagi membantu pembangunan rakyat akhirnya tidak akan turun sepertimana yang diharapkan rakyat, ujarnya.


Tiada ulasan: