"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Teoh- Perhimpunan Rakyat di Stadium Kelana Jaya

Saidah Hairan

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Hrkh) - Kerajaan negeri Selangor akan mengadakan perhimpunan solidariti 'Perhimpunan Rakyat' untuk menuntut keadilan bagi mendiang Teoh Beng Hock yang mati di Plaza Massalam, Shah Alam pada Ahad, 19 Julai di Stadium Kelana Jaya, Petaling Jaya jam 4.30 petang.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berharap pihak polis bertimbang rasa ketika mengendalikan orang awam dalam perhimpunan tersebut serta dapat memahami sentimen orang awam yang secara umumnya sedih dan marah atas kematian Teoh.

Beliau berkata, kerajan negeri akan bekerjasama dengan pihak polis dalam proses siasatan dan berharap agar kerja siasatan dapat dijalankan secara professional, menyeluruh dan telus.

Selain itu beliau menegaskan, kerajaan negeri menggesa Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kematian pegawai kerajaan Teoh Beng Hock di Plaza Masallam ketika dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, proses siasatan wajar dianggotai panel yang bebas bagi mengenalpasti punca kematian dan pihak yang bertanggungjawab di atas kematian tersebut.

Beliau berkata, kerajaan negeri berpendirian proses itu penting untuk mengembalikan keyakinan orang awam terhadap SPRM sebagai agensi banteras rasuah yang bebas dan bertanggungjawab.

"Kematian Beng Hock menimbulkan isu keselamatan pegawai kerajaan semasa dalam siasatan. Kerajaan negeri mengarahkan tiada pegawai kerajaan yang dibenarkan soal siasat oleh SPRM di luar kawasan pejabat," tegasnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan menyediakan khidmat peguam bagi pegawai kerajaan yang disiasat oleh SPRM dan arahan itu akan dilanjutkan sehingga siasatan ke atas tragedi ini selesai.

Katanya, kerajaan negeri akan memberikan sumbangan kewangan bagi pengurusan jenazah dan pengembumian mendiang Teoh.

Tiada ulasan: