"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kalau Mahathir, Tun Hanif Omar dan Tan Sri Abu Talib Othman Sebagai 'crook', Bolehkah Najib Jadi 'Hero'

Najib restu Nazri sifatkan Mahathir, Abu Talib 'crook'
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak tidak sepatutnya bertindak balas terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan tokoh-tokoh lain dengan 'menggunakan lidah' Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz.

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar berkata demikian ketika diminta mengulas serangan terbaru Nazri terhadap Dr Mahathir, bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman.

Nazri menyifatkan mereka sebagai 'crook'.

"Kesemua mereka adalah 'crook'," sebuah akhbar tempatan memetik beliau berkata diminta mengulas kritikan Abu Talib terhadap kenyataannya di Parlimen awal bulan ini.

Pada 2 Julai lalu, Nazri menyifatkan Abu Talib tidak layak menjadi Pengerusi Suhakam kerana memberi ulasan mengenai krisis Perak sedangkan krisis tersebut masih lagi menjadi kes mahkamah.

Mahfuz mempersoalkan, adakah Nazri berani berkata demikian jika Najib tidak membenarkan anggota kabinetnya menyerang tokoh-tokoh tersebut.

"Semua orang tahu bahawa Dr Mahathir baru-baru ini mengkritik Najib apabila beliau menyifatkan 100 hari pemerintahan Najib lebih banyak yang negatif manakala yang positif hanyalah kerana Najib berjumpa lebih ramai orang dan tidak tidur (waktu berkerja).

"Dr Mahathir juga menyifatkan dasar liberalisasi ekonomi Najib tidak membantu sesiapa pun sama ada rakyat berbangsa Melayu, Cina atau India," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz berkata, Najib sepatutnya meminta anggota kabinetnya menjawab dengan fakta dan bukan melabelkan tokoh-tokoh tersebut sebagai penjahat atau 'crook'.

"Tindakan Najib tidak menghalang anggota kabinetnya menuduh Dr Mahathir, Hanif dan Abu Talib sebagai penjahat atau 'crook' bertentangan dengan Rukunegara yang menekankan kesopanan dan kesusilaan.

"Tindakan itu juga boleh menyebabkan Najib dituduh tidak mengenang budi kerana Dr Mahathirlah yang bersungguh-sungguh menentang (Tun) Abdullah (Ahmad Badawi) dan membolehkan Najib menjadi Perdana Menteri dengan lebih cepat," katanya.

Tiada ulasan: