"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Thaksin: Saya dijaga SB M'sia

Bekas perdana menteri Thailand yang dikehendaki di negaranya, Thaksin Shinawatra, mengesahkan beliau menginap semalaman di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini dan mendakwa mendapat perlindungan daripada anggota polis Cawangan Khas.

"Jet peribadi saya singgah untuk mengisi minyak di Malaysia dan mereka menghantar 20 anggota polis untuk mengawal saya.

"Mereka sayang dan mengambil berat tentang saya," katanya seperti laporan akhbar
The Nation yang memetik perbualan telefon beliau dengan stesen FM 97.5 di negara itu pagi semalam.

Awal bulan ini adalah kali pertama Thaksin dikesan berada begitu hampir dengan Thailand sejak beliau melarikan diri tahun lalu.

Pihak berkuasa Thailand sebelum ini dilaporkan berkata Thaksin berada di Malaysia pada 4 Julai lalu dan berlepas ke Fiji pada hari berikutnya sebelum sempat pihak polis bertindak.

Thaksin pulang ke Dubai, Jumaat lalu.

Awal minggu lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Thailand, Thawon Sennian dilaporkan berkata, Thaksin berjaya melarikan diri daripada pihak berkuasa Malaysia sewaktu berada di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Thaworn dilaporkan berkata, dalam insiden tersebut pegawai kedutaan Thailand memaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia bahawa Thaksin ketika itu sedang menginap di Hotel Shangri-La.

"Pegawai-pegawai kedutaan (Thailand) memaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia berhubung kehadiran Thaksin, namun entah bagaimana Thaksin dapat tahu mengenainya dan berjaya melepaskan diri," Thaworn dipetik berkata di Pattani pada 6 Julai lalu.

Thaworn bagaimanapun tidak memberikan sebarang maklumat lanjut mengenai insiden itu berlaku.
-malaysiakini.com-

Tiada ulasan: