"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKFZ: Bekas MB S'gor mungkin dipanggil

Bekas Menteri Besar Selangor mungkin dipanggil untuk memberi keterangan terhadap projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Pengerusi Pemeriksaa Kira-kira Wang Negara (PAC), DatukAzmi Khalid berkata, ini kerana tanah projek tersebut adalah dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

"Kita akan panggil nama-nama mereka yang terlibat, senarainya panjang lagi tetapi sudah ada dalam senarai.

"Bekas-bekas menteri, ketua setiausaha kementerian penerangan dan bekas timbalan ketua setiausaha kementerian membuat keputusan dalam projek terssebut.

"Bekas pengerusi lembaga pelabuhan Kelang (LPK) akan dipanggil untuk memberi penerangan," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Hari ini, bekas menteri pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik memberi penerangan kepada PAC selama dua jam mulai pukul 11.30 pagi tadi.

Azmi berkata, bekas presiden MCA itu cuba menjawab semua soalan, tetapi ada juga yang beliau kurang ingat kerana ia berlaku 10 tahun lalu.

Beri kerjasama


"Beliau memberi kerjasama yang sangat baik, tidak mungkin PAC memanggilnya lagi kecuali jika ada soalan-soalan khusus untuk beliau.

"Kita juga tanya kepada Ling mengenai beberapa keputusannya tetapi dia kata ada keputusan yang dia kurang ingat dan untuk kehendak tertentu," katanya.

Azmi berkata, Ling memberitahu PAC surat pertama ialah untuk menyokong PKFZ bukan jaminan kerajaan dan implikasi kewangan kerajaan.

"Menurut Ling,surat tersebut dibuat adalah cadangan yang dibuat oleh ketua setiausaha kementerian pengangkutan dan nasihat penasihat undang-undang kementerian," katanya lagi.
Azmi berkata, seorang lagi bekas menteri pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy akan dipanggil memberi penerangan minggu depan.

Manakala, menteri pengangkutan sekarang, Datuk Seri Ong Tee Keat akan dipanggil memberikan penerangan jam 2 petang esok.

"Kita akan mendapatkan semua penerangan ini sebelum bermula sidang Parlimen, Oktober depan," katanya.

Azmi berkata, antara isu-isu yang dibangkitkan oleh PAC ialah mengenai pengambilan tanah dan bon tidak dikeluarkan oleh jaminan kerajaan.

Katanya, PAC juga ingin tahu siapa yang membuat keputusan projek dibangunkan secara sekaligus, kerana sepatutnya secara berperingkat mengikut fasa demi fasa.

"PKFZ cuma siap 14 peratus yang mana ia boleh disewakan tetapi yang lain tidak.

"Terlalu banyak pembangunan yang dibuat tetapi hasilnya kurang dan ia menjejaskan kredibiliti projek," katanya.
-malaysiakini.com-

Tiada ulasan: