"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MB cadang orang bukan Islam bayar zakat perdagangan

Saidah Hairan

SHAH ALAM, 13 Julai (Hrkh) - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan rakyat Selangor yang bukan beragama Islam boleh membayar zakat perdagangan kepada Baitulmal dimana dana itu boleh digunakan untuk pembangunan negeri Selangor.

Ini memandangkan katanya, Selangor merupakan antara negeri yang terbesar penyumbang cukai negara dan jika rakyat menyumbang 20 peratus daripada 80 peratus sekurang-kurangnya 16 bilion daripada peruntukkan cukai itu hasil daripada rakyat Selangor.

Beliau beranggapan rakyat Selangor membayar cukai itu supaya hasil cukai itu dapat digunakan untuk pembangunan negeri Selangor malangnya pembangunan itu tidak disalurkan dengan betul.

Justeru, katanya, jika orang yang membayar zakat kepada kerajaan negeri dan pembayar zakat itu boleh dikira pembayar cukai mereka boleh gunakan resit zakat sebagai pembayaran cukai.

"Oleh itu duit zakat yang diberikan pada kerajaan Selangor boleh diagihkan mengikut peruntukkan zakat," katanya dalam sidang media selepas sesi Dewan Negeri.

Beliau kesal dengan tindakan kerajaan Persekutuan yang tidak lagi memberikan peruntukkan kepada kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Selangor sebaliknya diserahkan melalui Pejabat Pembangunan negeri Selangor.

Menurut beliau, peruntukkan melalui Unit Perancang Ekonomi Selangor itu telah dilakukan sejak merdeka tetapi setelah Selangor diambil alih oleh kerajaan Pakatan Rakyat, saluran peruntukkan itu telah diubah kepada Pejabat Pembangunan negeri Selangor di bawah kerajaan Persekutuan.

"Peruntukkan ini dibuat tidak mengikut cara biasa iaitu melalui pegawai daerah dan dibawa kepada Penghulu atau ketua kampung," tegasnya.

Ekoran tindakan kerajaan Persekutuan itu, sekurang-kurangnya 20 orang setiap daerah yang sekarang tidak mempunyai tugas walaupun bergaji. Ini kerana tugas itu diambil alih oleh pegawai kerajaan Persekutuan di bawah jagaan Unit Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri./SH

Tiada ulasan: