"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

ISA: Selepas Geneva tumpuan jayakan Himpunan Mansuh 1 Ogos

Norlaila Othman
Fri | Jul 17, 09 | 11:40:34 am MYT

"AKAK cerita kisah kejahatan ISA hingga ke Geneva, rasa rugi pula kalau tak ada peluang nak berkongsi dengan penduduk yang tinggal di Malaysia, terutamanya yang tak dapat akses internet dan Harakah," kataku kepada Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi yang aku kenali empat tahun lalu. Aku telah bercakap dengan orang Johor untuk merealisasikan niatku itu.

Hatiku berbunga riang kerana akhirnya Faizi berjaya juga menciptakan peluang untukku bercakap tentang penahanan tanpa bicara abah Suhaib (anakku) yang masuk tahun kelapan (Norlaila adalah isteri tahanan ISA, Mat Sah Satry), kepada penduduk negeri Johor negeri kelahiran ISA yang juga terkenal dengan parti bersimbol keris.

Ketika menjejakkan kaki di stesen bas Larkin, aku menyangka, mungkin majlis yang bakal diadakan itu hanya dihadiri oleh beberapa orang saja, namun sebaik saja tiba di Surau Istiqomah di Masai, aku terperanjat dengan kehadiran para aktivis tempatan yang datang dalam jumlah yang agak besar ke program tersebut.

'Program Bersama Aktivis GMI - Puan Norlaila' terpampang di skrin membuatkan hatiku terharu dengan usaha yang dilakukan oleh Faizi dan Norhayati, salah seorang pimpinan Muslimat di Pasir Gudang.

Semasa di luar negara, ramai yang bertanya, "what is the charge of your husband?" Aku tidak dapat menjawab soalan itu kerana selama tujuh tahun dikurung di Kem Kamunting, beliau tidak pernah didakwa di mahkamah. Selama tujuh tahun itu ditahan dibawah ISA, beliau cuma dituduh sebagai ahli Jemaah Islamiyyah (JI).

Aku pernah ditahan polis kerana menyertai majlis 'vigil' (peringatan) di Dataran Merdeka awal tahun ini. Aku telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi. Aku dituduh bersalah kerana menyertai perhimpunan haram. Aku juga telah disoal siasat oleh seorang pegawai polis wanita. Tetapi sehingga hari ini, aku tidak pernah didakwa oleh polis dan aku menjalani kehidupan sebagai seorang yang bebas.

Sekiranya seseorang itu bersalah, dia mesti didakwa di mahkamah. Orang itu boleh mendapatkan khidmat peguam, boleh dijamin dan sementara menunggu hari perbicaraan, mereka hidup bebas. Proses pendakwaan mesti disokong oleh bukti-bukti yang jelas dan perbicaraan itu ada proses kaji semula. Semua ini tidak diberikan kepada tahanan ISA. Inilah kezaliman ISA yang paling jelas sekali.

Selain mengupas mengenai beza ISA dan akta lain, aku juga menekankan bahawa, ISA bukan saja bertentangan dengan Deklarasi Hak Asasi Sejagat (UDHR) yang menetapkan bahawa 'seseorang itu tidak bersalah selagi belum dibuktikan di mahkamah' dalam bahasa Inggerisnya 'innocent until proven guilty'.

Malahan ia juga bercanggah dengan keadilan Islam sepertimana yang disebutkan dalam surah an-Nisa ayat 58 menyebutkan: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan menyuruh kamu apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil."

7 tahun ulang-alik Kamunting

Perkongsian tidak akan lengkap jika aku tidak menceritakan tujuh tahun pengalaman berulang-alik ke Kem Kamunting. Aku dan Suhaib boleh menziarahi abahnya setiap minggu tetapi ada ketikanya terpaksa mengalah kepada perbelanjaan harga minyak dan tol serta masa yang panjang terpaksa dibazirkan dalam perjalanan.

Aku terpaksa memandu sejauh 700 kilometer pergi balik dari KL ke Taiping dan sebaliknya, yang memakan masa lapan jam perjalanan hanya untuk satu pertemuan selama 45 minit. Sebelum pertemuan, kami terpaksa melalui tiga laluan iaitu pintu utama, pintu kedua dan pintu ketiga dan akhir sekali kami di'scan' oleh warden yang bertugas.

Pada akhir proses itu, kami hanya dibenarkan bercakap di sebalik cermin kaca menggunakan interkom!

Baca selanjutnya:-http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=021785&Itemid=90

Tiada ulasan: