"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

GMI syor dialog antara ahli parlimen sebelum bentang pindaan ISA / UBN Najib Altantuya

Hazayani Zakaria

DUNGUN, 23 Sept: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mencadangkan satu dialog bagi membincangkan mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diadakan di antara ahli-ahli parlimen sebelum Persidangan Dewan Rakyat bermula pada 19 Oktober depan.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, dengan adanya dialog berkenaan, ahli-ahli parlimen daripada pihak kerajaan dan Pakatan Rakyat berpeluang untuk berbincang secara khusus berhubung tindakan atau persediaan yang boleh dibuat sebelum hasil kajian semula akta berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat.

"Kita(GMI) minta dialog antara ahli-ahli parlimen diadakan seboleh-bolehnya sebelum persidangan bermula pada 19 Oktober ini."katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

GMI juga tegasnya akan terus menggesa kerajaan meneliti syor daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) supaya memansuhkan ISA kerana ia melanggar hak asasi manusia.

"GMI meminta kerajaan melihat syor daripada Suhakam.Saya rasa syor Suhakam itu sangat jelas.Jadi bagi GMI, kita akan terus cadangkan supaya syor itu diterima pakai."tegasnya.

Ketika diminta mengulas mengenai cadangan Penganalisis politik, Dr.Chandra Muzaffar supaya mahkamah khusus yang berfungsi seperti Mahkamah Khas untuk raja-raja bagi menggantikan ISA dalam menangani ancaman keselamatan ditubuhkan, beliau berkata, GMI menyambut baik sebarang cadangan bagi menggantikan akta itu

"Sebarang cadangan untuk menggantikan ISA diterima tapi kalau sekadar untuk ganti perbicaraan, tidak memadai.

"Kita kena lihat juga sebab penahanan seseorang itu dan kuasa yang diperuntukkan kepada menteri dan pihak polis."katanya.

Dr. Chandra turut mencadangkan undang-undang baru yang lebih adil, tegas dan manjamin hak asasi manusia digubal bagi menggantikan peranan ISA termasuk memansuhkan kuasa Menteri Dalam Negeri untuk menahan seseorang tanpa proses mahkamah.

Mahkamah Khas itu akan mengendalikan permohonan pihak berkuasa untuk penahanan seseorang atau sekumpulan suspek yang disyaki terlibat dalam aktiviti menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Chandra dipetik sebagai berkata, pihak berkuasa selepas tempoh tertentu perlu menghadapkan suspek terbabit untuk dibicarakan secara tertutup di mahkamah khas dengan didengar oleh seorang, tiga atau lima hakim.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, GMI sendiri akan mengadakan satu forum berkenaan ISA seperti yang dicadangkan sebelum ini, dijangka pada 24 Oktober depan.

"Kita belum pasti bila tarikh sebenar pindaan ISA dibentangkan di parlimen.Tapi kita akan tetap adakan forum yang telah kita rancang itu."Ujarnya yang juga Timbalan Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM).

Beliau turut menyatakan kekesalan dengan kegagalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein menunaikan janji untuk memanggil NGO-NGO yang terlibat dengan perjuangan mendesak kerajaan memansuhkan ISA termasuk GMI sendiri untuk mendapatkan pandangan berhubung akta itu.

"Sehingga ke hari ini, kami masih belum dipanggil.Saya pun hairan kenapa mereka tidak mahu panggil sedangkan menteri terbabit pernah cadangkan dulu untuk dapatkan pandangan daripada GMI dan NGO yang terlibat dalam isu ini."katanya lagi.

Berhubung lima tahanan yang dibebaskan dengan bersyarat minggu lalu, beliau berpandangan mereka belum bebas sepenuhnya dan hak mereka masih lagi dirampas meskipun mereka dibebaskan daripada kem Kamunting.

Ini kerana ujarnya, di bawah akta kawasan yang dikenakan terhadap lima tahanan yang dibebaskan itu, mereka perlu akur kepada syarat-syarat tertentu termasuk hanya boleh berada di kawasan-kawasan tertentu sahaja dan masih berada di bawah pengawasan pihak polis.

"Saya rasa kita sebagai rakyat biasa kena faham bahawa walaupun mereka dimumukan sebagai bebas, tetapi hakikatnya pergerakan mereka terhad."

" Hak mereka masih tidak diberi sepenuhnya.Walaupun dikatakan dapat bersma sanak saudara, tetapi hanya dalam kawasan tertentu sahaja."tambahnya lagi.

Seperti yang dicatat oleh aktivis GMI, Norlaila Othman yang juga isteri kepada tahanan yang dibebaskan, Mat Sah Satray dalam blog peribadinya, lailagmi.blogspot.com pergerakan suaminya sangat terhad meskipun dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

"Mat Sah tidak boleh ke kubur di Segambut kerana Segambut terletak di luar daerah yang diizinkan bagi pergerakan beliau,"tulisnya dalam blog tersebut.

Menurut Laila juga, Isnin lalu, suaminya terpaksa melaporkan diri kepada polis cawangan khas di IPD Ampang.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim tidak menolak kemungkinan tindakan kerajaan membebaskan lima tahanan itu hanya sekadar untuk meredakan kemaraan rakyat yang mendesak agar ISA dimansuhkan.

Katanya, jika kerajaan benar-benar ikhlas dalam mendengar suara rakyat berkenaan isu kezaliman ini dan mahu melakukan perubahan, kerajaan seharusnya membebaskan semua tahanan kerana mereka telah dikurung tanpa sebarang bukti bahawa mereka melakukan kesalahan.

Tiada ulasan: