"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hormati Pendirian Kartika - peguam

SUNGAI SIPUT: Semua lapisan masyarakat termasuk pihak media dipohon supaya menghormati pendirian jururawat, Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, untuk meneruskan hukuman sebatan ke atasnya selepas mengaku bersalah meminum arak di Pahang.

Peguam Kartika, Adham Jamalullail Ibrahim berkata isu yang melibatkan anak guamnya itu sepatutnya menjadi pengajaran serta wadah peningkatan institusi mahkamah syariah dan undang-undang Islam di Malaysia.

"Saya juga meminta parti politik tidak campur tangan dalam isu hukuman sebat berkenaan kerana ia hanya membabitkan institusi kehakiman syarie di Pahang sahaja," katanya ketika ditemui pemberita di majlis rumah terbuka Kartika di Kampung Jawang di sini semalam.

Kartika pada minggu lepas melantik lima peguam sivil dan syarie, daripada firma guaman Tetuan Adham & Associate iaitu Marlina Amir Hamzah, Adham Jamalullail Ibrahim, Siti Razasah Abd Razak, Zainul Rijal Abu Bakar dan Mohamed Haniff Khatri Abdullah bagi mewakilinya.

Menurut Adham Jamalullail, sehingga kini, pihaknya masih tertanya-tanya mengenai tarikh sebenar hukuman sebatan itu akan dijalankan.

Beliau berkata, pihaknya masih belum menerima hitam putih mengenai tarikh sebenar hukuman itu.

Pada 20 Julai lepas, Kartika dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai tahun lepas.

Bagaimanapun hukuman itu ditangguhkan baru-baru ini bagi menghormati bulan puasa.

-BERNAMA-

Tiada ulasan: