"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menjelang kejayaan dalam pilihan raya umum akan datang

Abu Firdaus

Mengapa tiba-tiba tajuk ini dibahaskan sedangkan pilihan raya umum lama lagi, dianggarkan dua tahun lagi. Tetapi itu juga bererti tidak lama lagi. Malah pada tahun 2010, tempoh penggal pentadbiran masuk waktu separuh. Ia merupakan waktu terbaik bagi menilai sejauh mana kejayaan pentadbiran kemenangan dalam pilihan raya lalu, dan harapan bagi kejayaan masa depan.

Tetapi tujuan tulisan ini, walaupun bertajuk demikian ialah penegasan bahawa pilihan raya bukanlah menjadi kemuncak sesuatu kegiatan perjuangan. Malah bukan juga bagi sesebuah parti politik termasuk PAS. Sebaliknya setiap hari merupakan kemuncak kegiatan perjuangan dan mempunyai makna tersendiri.

Penegasan ini perlu kerana kebiasaannya semangat perjuangan parti politik meningkat menjelang pilihan raya, dan nikmatnya terasa apabila kemenangan tercapai selepas keputusannya. Selepas untuk beberapa ketika semangat itu kendur dan perjuangan tidak dapat dilihat.

Tetapi seharusnya tidak begitu. Bagi mereka yang meminati perjuangan, sememangnya tidak semua yang berupaya memiliki kehendaik sedemikian, setiap hari mempunyai keistimewaan tersendiri. Namun tidaklah semua hari itu serupa. Tetapi antara peristiwa yang menyeronokkan dalam perjuangan adalah acara seperti Konvensyen Pakatan Rakyat baru-baru ini.

Konvensyen ini mempunyai keistimewaannya tersendiri. Buat pertama kali ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat, PAS, DAP dan Keadilan dapat bersama dalam satu pentas di peringkat nasional bagi menegaskan perpaduan dan kesepakatannya. Walaupun berlainan ideology tetapi ketiga-tiga parti politik ini berjaya menampilkan kesatuan perjuangan, sekurang-kurangnya dalam prinsip-prinsip yang dikongsi bersama.

Perjuangan untuk agama, bangsa dan tanahair bukan saja didokong oleh PAS tetapi juga kesemua parti Pakatan Rakyat. Bagi PAS, perjuangan untuk agama Islam adalah jelas. Tetapi bagi DAP, mereka trentunya turut memperjuangkan untuk mereka dalam konteks sekularisme, baik berasaskanm kepada Buddha, Kristian, Kungfutze, Tao, Hindu atau Islam bagi ahli-ahli DAP yang beragama Islam. Begitu juga dengan Keadilan. Tentu mereka mempunyai perjuangan keagamaan mereka sendiri. Agama Islam bagi penganut Islam, Sementara Kristian, Buddha, Kungfutze. Tao dan BHindu juga mempunyai penganut dalam Keadilan.

Tetapi kalau disebut mengenai prinsip keadilan, tentunya ia menjadi asas perjuangan bagi kesemua parti-parti Pakatan Rakyat. Begitu juga apabila disebut demokrasi. Ketiga-tiga parti juga mendokong fahaman ini. Cuma dalam hal Islam, pandangan PAS mengenai agama mungkin tidak dikongsi bersama oleh DAP dan Keadilan. Tetapi dalam kalangan ahli PAS juga mereka juga mempunyai pandangan berbeza mengenai isu-isu berhubung Islam.

Malah ada antara pandangan sesetengah pendokong PAS mengenai agama Islam, adalah lebih serupa dengan pendapat dari kalangan UMNO daripada sesame saudara separti. Tetapi apa yang membuat PAS dan UMNO dan berbeza, serta Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional tidak serupa dalam soal agama Islam?

Dari segi ideologi, terdapat perbezaan asas antara PAS dan UMNO. Begitu juga terdapat perbezaan penting antara Pakatan Rakyat yang disertai PAS dan Barisan Nasional yang diketuai UMNO.Tetapi sebagai manusia, tentu terdapat kelemahan yang ada kalanya ia hampir serupa antara PAS dan UMNO, dan antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

.Apabila disebut perbezaan asas antara PAS dan UMNO, maka seringkali ia merujuk kepada asas perjuangan. PAS memperjuangkan Islam, dan UMNO memperjuangkan nasionalisme Melayu. Sementara Pakatan Rakyat berorientasikan rakyat sementara Barisan Nasional pule menumpukan kepada kepentingan nasional.

Tetapi adakah ia bermakna PAS tidak memperjuangkan nasionalisme Melayu dan UMNO menolak Islam? Atau Pakatran Rakyat menolak kepentingan nasional dan Barisan Nasional tidak mengutamakan rakyat? Tentu tidak. Apabila perbahasan pergi ke peringkat kedua pula, maka dihujahkan bahawa PAS lebih mengutamakan islam daripada nasionalisme Melaytu sementara UMNO mengutamakan nasionalisme Melayu daripada Islam.

Begitu juga dengan Pakatan Rakyat sebagai gabungan yang mengutamakan rakyat daripada kepentingan nasional. Sementara Barisan Nasional dilihat mengutamakan kepentingan nasional daripada rakyat umum. Maka tidakkah nasionalisme Melayu yang tidak bertentangan dengan Islam akan terus menjadi cirri perjuangan PAS? Begitu juga di pihak UMNO. Tidakkah mereka sebagai seseorang yang mengucap dua kalimah syahadat tidakkah mempunyai sedikit kasihpun pada agama mereka?

Begitu juga di antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Tentulah sebagai bagi memperjuangkan kepentingan rakyat, Pakatan Rakyat akan menjamin keutuhan nasional. Rakyat memerlukan negara. Tanpa ada nya negara, bagaimana rakyat hendak menikmati kemakmuran. Begitu juga dengan Barisan Nasional. Mereka tentu sedar bgahawa negara tanpa rakyat adalah tidak membawa makna. Sebab itu slogan kerajaan pimpinan Barisan Nasional ialah Rakyat Didahulukan.

Jadi, adakah PAS dan UMNO itu serupa dan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional juga sama? Ini membawa kepada perbahasan peringkat ketiga. Apa yang membezakan antara PAS dan UMNO dan pakatan Rakyat dan Barisan Nasional ialah orang yang mendokongnya. Ahli politik PAS lebih bersih dan dipercayai daripada UMNO. Begitu juga dengan ahli politik Pakatan Rakyat lebih bersih daripada Barisan Nasional. Secara umumnya memanglah begitu keadaannya. Tetapi sebagai manusia, tentu semua pihak sedar bahawa tidak kira PAS, UMNO, Pakatan Rakyat atau Barisan nasional, kalau seseorang itu tidak jujur, maka akan berlaku juga penyelewengan.

Justeru apa yang membezakan PAS dan UMNO, serta Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Ya, kedua-duanya mempunyai budaya tersendiri. Keseluruhan ciri-ciri itu sememangya diambil kira menjadikan PAS lebih baik daripada UMNO, dan Pakatan Rakyat lebih baik daripada Barisan Nasional.

Tetapi hakikatnya ialah Malaysia sedang menju ke arah sistem dua parti. Ini kerana dua parti merupakan system paling stabil dalam politik manusia hari ini. Oleh kerana UMNO sudah memerintah 50 tahun, maka masanya sudah sampai untuk diambil alih oleh parti lain. Ia merupakan suatu yang fitrah dan semula jadi. Insya-Allah.

Tiada ulasan: