"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kertas Putih, Bendera Putih

Husam Musa

'Kedudukan aliran tunainya yang kurang memuaskan tidak memungkinkan ia dapat menebus semula baki bon yang diterbitkannya berjumlah RM7.10 bilion." - Lapor Ketua Audit Negara ke atas SYARIKAT PRASARANA NEGARA BERHAD milik MoF.RM 7 billion baki bon yang tidak akan mampu ditebus. Kerugian berterusan bagi tempoh tahun 2005 hingga 2007 dan kerugian terkumpul setakat 31 Disember 2007 sudah mencecah RM839.81 juta.

Dalam keadaan seperti itu, Rapid KL, anak syarikat Prasarana menjadikan 1,000 buah bas-bas yang masih tampan sebagai 'arwah' lebih awal dari hayatnya. 1,000 bas baru dibeli dan ia dikatakan dibekalkan oleh Scomi.

Adakah ini tidak cukup untuk Kerajaan mengambil tanggunjawab menjelaskan kenapa ia berlaku?

Kali terakhir Kerajaan membentangkan Kertas Putih ialah pada 6 April 1999 di Dewan Rakyat - STATUS EKONOMI MALAYSIA - selepas krisis kewangan melanda negara sejak 1997. Ia dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri waktu itu, DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI.

Pada tahun 1986, Kerajaan membentangkan Kertas Putih skandal BMF - melibatkan kehilangan RM 2.5 billion.
Kebocoran akibat kecuaian dan salah urus yang kita bincangkan sekarang jauh lebih besar dari RM 2.5 b Skandal BMF.

Jika skandal RM 2.5 b Kerajaan merasa bertanggungjawab membentangkan Kertas Putih, tak kan dengan jumlah yang berkali ganda lebih besar, Kerajaan hanya mengangkat Bendera Putih.

Kita nakkan Kerajaan berputih tulang unuk memikul tanggungjawab akauntabiliti ini dan bukannya berputih mata semata-mata seperti kehendak PM.

Ambil sahaja amalan runding terus yang berlaku terus menerus dan telah menimbulkan pelbagai mala petaka seperti projek gagal disiapkan, kos meningkat luar biasa tinggi dan projek bermasalah.

Imbas kembali Laporan Ketua Audit Negara sahaja sudah cukup untuk Kerajaan merasa malu untuk tidak mengambl tanggung jawab menjelaskan kedudukan-kedudukan ini.

Runding terus - antara yang sempat disenaraikan oleh Ketua Audit Negara adalah seperti berikut;


1. Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Bandar Muadzam Shah, Mukim Anak Bukit, Alor Setar, Kedah - RM287 juta

Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mengeluarkan Surat Niat kepada Syarikat Arah Semangat Sdn. Bhd. pada 26 Ogos 2002 yang dilantik secara rundingan terus untuk melaksanakan projek pembinaan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dengan kaedah ‘reka dan bina’.

Ada beberapa tindakan lucu oleh JPM dan MoF, seperti catitan Ketua Audit Negara;

A. Projek ini telah dimulakan pada tahun 2002 dengan Jabatan Kerja Raya sebagai agensi pelaksana. Penglibatan JKR telah dibatalkan pada hari yang sama surat niat dikeluarkan kepada Syarikat Arah Semangat Sdn. Bhd.

Pada 5 November 2004 Kementerian Kewangan telah membatalkan pelantikan Arah Semangat Sdn. Bhd. tersebut serta Syarikat PMN Sdn. Bhd. sebagai PMC dan melantik semula JKR sebagai Penguasa Projek!

Kalau itu belum lucu, baca catitan Ketua Audit Negara di bawah;

B. Semakan Audit mendapati rundingan harga hanya diadakan antara JKR, JPM dan Syarikat Arah Semangat Sdn. Bhd. pada bulan Jun 2004 iaitu selepas 22 bulan daripada tarikh Surat Niat dikeluarkan.

Yang ini lebih melucukan;

C. Hasil daripada rundingan harga yang telah dijalankan, kos projek yang ditawarkan oleh Syarikat Arah Semangat Sdn. Bhd. berjumlah RM350 juta telah dapat dikurangkan kepada RM287 juta. Bagaimanapun, Kementerian Kewangan tidak bersetuju untuk menawarkan projek ini kepada Syarikat Arah Semangat Sdn. Bhd. dan pada 5 November 2004 Kementerian Kewangan telah membatalkan pelantikan syarikat tersebut serta mengarahkan supaya kerja pembinaan bangunan dan infrastruktur dilaksanakan secara tender terbuka melalui beberapa pakej.

Kementerian Kewangan telah mengarahkan supaya kerja tanah yang telah dilaksanakan oleh Syarikat Arah Semangat Sdn. Bhd. berjumlah RM6.24 juta dan khidmat perundingan PMC berjumlah RM2.38 juta dibayar.

Pada bulan Mei 2005, Kementerian Kewangan telah memutuskan supaya Syarikat Arah Semangat Sdn. Bhd. dilantik semula untuk melaksanakan sebahagian daripada projek ini yang bernilai RM151 juta dengan alasan syarikat ini telah menyediakan pelan reka bentuk projek. Sebahagian daripada projek yang bernilai RM136 juta dilaksanakan oleh kontraktor lain yang dipilih secara tender terhad.

Kelucuan flip flop ini memakan korban wang rakyat.


2. Projek Pembinaan Jalan Sapulut - Kalabakan, Sabah - RM 563 juta

Sejumlah RM563.33 juta telah dibelanjakan bagi membina Jalan Sapulut - Kalabakan, Sabah secara design and build. Projek ini dilaksanakan oleh Konsortium F.A. Irama Duta Sdn. Bhd. (kontraktor) yang dilantik secara rundingan terus oleh Kementerian
Kewangan.

3. Landasan Berkembar Rawang-Ipoh - Lebih RM 5.7 billion!

Kerajaan telah melantik DRB-Hicom secara rundingan terus sebagai kontraktor utama dengan kelulusan Kementerian Kewangan. Projek ini dilaksanakan secara fast track, reka dan bina serta kos kontrak ditetapkan secara lump sum bernilai RM2.58 bilion.

Pengauditan yang dijalankan mendapati beberapa kelemahan seperti projek lewat disiapkan menyebabkan kos projek meningkat dianggarkan sejumlah RM1.43 bilion. Kerajaan juga besar kemungkinan terpaksa menanggung sebahagian daripada kos kerugian yang dianggarkan berjumlah RM1.14 bilion. (Kerugian dan peningkatan kos berjumlah RM 2.57 billion)

Ketua Audit Negara seterusnya mencatatkan;

Sehingga bulan Disember 2008, sejumlah RM5.77 bilion telah dibelanjakan untuk melaksanakan projek ini. Jumlah perbelanjaan ini adalah RM1.43 bilion (32.9%) lebih tinggi daripada nilai kontrak asal projek yang berjumlah
RM4.34 bilion!

4. Hospital Pekan, Pahang - RM 81.59 juta

Hospital baru di daerah Pekan, Pahang bagi menggantikan hospital sedia ada dengan anggaran kos berjumlah RM81.59 juta.

Pelantikan kontraktor bagi membangunkan Hospital ini dilakukan secara rundingan terus oleh Jabatan Perdana Menteri.

5. PROJEK PEMBINAAN PELABUHAN PERIKANAN LAUT DALAM BERSEPADU
TANJUNG MANIS, MUKAH, SARAWAK

Pada bulan Januari 2002, Kementerian Kewangan telah memutuskan
supaya projek ini dilaksanakan dengan kaedah reka dan bina serta fast track. Kementerian Kewangan juga memutuskan supaya syarikat usaha sama Juara-HSL-Rheinhold & Mahla JV dilantik secara rundingan terus.

Semakan Audit mendapati Kementerian Kewangan telah melakukan kelucuan melampau sekali lagi.

Bahagian II diluluskan lebih dahulu dari Bahagian I projek!

Bahagian I (kerja-kerja marin iaitu pembinaan jeti, pontun dan
dermaga) pada bulan Julai 2004, sembilan bulan lebih awal dari kelulusan Bahagian I!

Bahagian II (kerja-kerja bangunan, mekanikal dan elektrikal) pada bulan Oktober 2003.

Oleh itu kerja Bahagian II) terpaksa dimulakan lebih dahulu walaupun kerja ini sepatutnya dimulakan selepas kerja pembinaan jeti, pontun dan dermaga (Bahagian I) disiapkan. Melucukan?

Ketua Audit seterusnya mencatatkan;

PENGURUSAN PROGRAM PEMBANGUNAN MODAL INSAN DALAM BIDANG
SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI

Sejumlah RM500 juta telah diperuntukkan di bawah RMK-9 untuk melaksanakan Program Pembangunan Modal Insan. Bagi tempoh tahun 2006 hingga bulan Disember 2008, sejumlah RM153.73 juta telah dibelanjakan untuk melaksanakan Program ini.


PENEMUAN AUDIT

Pengauditan yang dijalankan antara bulan Ogos hingga Disember 2008 mendapati beberapa kelemahan seperti sasaran skim tidak dapat dicapai sepenuhnya; pembiayaan diberi kepada penerima yang tidak mematuhi syarat kelayakan; kelemahan dalam syarat kontrak perjanjian; kelewatan mengagihkan peruntukan; kegagalan mematuhi syarat perjanjian serta kelemahan pemantauan dan penilaian terhadap pelaksanaan Program.

Kertas Putih boleh membantu Kerajaan memulihkan integritinya. Membantu cadangan mengelakkan kerugian dan kecacatan serupa berulang pada masa depan. Membantu memperbaiki kekurangan kawalan dan sistem. Membantu Najib membuktikan beliau bukan penerus kepincangan-kepincangan lalu. Membantu memulihkan keyakinan terhadap Kerajaan.

Mengapa tidak?

http://cetusan-hati.blogspot.com

Tiada ulasan: