"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Timbalan pun okey

Mohd. Salleh
BUTTERWORTH, Utusan Malaysia 30 Dis. – Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Salleh Man tidak berkecil hati biar pun kerajaan negeri gagal menunaikan janji untuk melantiknya sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir sebaliknya berkata, tawaran untuk mengisi kerusi Timbalan Yang Dipertua MAIPP iaitu jawatan baru yang diwujudkan oleh kerajaan negeri sudah memadai.

Sambil mengesahkan sudah menerima surat tawaran bagi jawatan timbalan itu Isnin lalu, Mohd. Salleh berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya terus dipolitikkan.

”Timbalan pun okey, saya tidak ada masalah. Asalkan boleh berkhidmat dalam MAIPP saya rasa itu sudah cukup,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan kerajaan negeri juga sudah menghantar surat tawaran kepada bekas Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM), Ellias Zakaria bagi mengisi jawatan Yang Dipertua MAIPP selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Pelantikan itu bagi menggantikan ADUN Permatang Berangan dari Barisan Nasional (BN), Shabudin Yahaya yang akan tamat tauliah perkhidmatannya sebagai Yang Dipertua MAIPP esok.

Janji untuk melantik Mohd. Salleh sebagai orang nombor satu MAIPP diumumkan Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir Ogos lalu.

Pengumuman itu dibuat ketika banyak kritikan terutama daripada penyokong Pas yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan negeri diterajui DAP yang didakwa meminggirkan Pas dalam pentadbirannya.

Pada pilihan raya kecil itu, Mohd. Salleh menang selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman.

Mohd. Salleh berkata, tidak timbul isu Pas akan berkecil hati kerana beliau tidak diberi jawatan itu memandangkan barisan jawatankuasa baru MAIPP rata-ratanya akan dianggotai pemimpin parti pembangkang termasuk Pas sendiri.

”Saya juga sudah memaklumkan perkara ini ketika mesyuarat Pas negeri baru-baru ini dan nampaknya mereka menerimanya dengan baik, tiada masalah,” tambahnya.

Tiada ulasan: