"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dewan Pemuda PAS buat aduan polis penunjuk perasaan menyamar ahli

PETALING JAYA, Dis 28: Dewan Pemuda PAS Selangor membuat aduan polis berhubung tindakan sekumpulan pemuda yang mendakwa mereka sebagai ahli dan penyokong PAS mendesak ia keluar Pakatan Rakyat (PR), semalam.

Aduan di Ibu Pejabat Polis Shah Alam pada pukul 11 pagi tadi.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Selangor Khairul Fahmi Matsom ketika dihubungi sebagai berkata kumpulan itu, yang dianggarkan kira-kira 20 orang telah menyamar sebagai ahli dan penyokong PAS sehingga mencalar imej parti tersebut.

“Kami membuat aduan berhubung dua perkara,” kata beliau.

Pertama, menurut beliau membabitkan ketua kumpulan itu Wan Hilman Abdul Rahim yang mendakwa dia sebagai ahli PAS kawasan Gombak.

“Kami buat siasatan di PAS kawasan Gombak dan juga di ibu pejabat mendapati dia (Wan Hilman) bukan merupakan ahli PAS... kami mendapati dia menyamar sebagai ahli PAS,” katanya lagi.

Kedua, kata Khairul Fahmi, pihaknya juga meminta polis agar menyiasat kerana mereka membuat kenyataan berunsur fitnah dengan meminta PAS keluar dari PR.

“Dia membuat satu kenyataan fitnah PAS ... ini kenyataan yang serius, kami memandang berat,” katanya lagi.

Mengenai tindakan susulan, kata Khairul Fahmi, pihaknya akan melihat perkembangan sama ada perlu mengambil tindakan perundangan terhadap Wan Hilman.

“Apa pun tindakan kami akan mengkaji dulu,” katanya.

Sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Gerakan Penyokong dan Pengundi PAS Selangor mendesak parti itu keluar daripada PR negeri dengan segera.

Mereka mahu PAS bertindak demikian ekoran rasa tidak puas hati terhadap pimpinan kerajaan campuran Selangor dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu sebenarnya.

Wan Hilman dipetik berkata pihaknya merasakan rakan sekutu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP cuba membelakangi PAS dalam membuat keputusan walaupun parti itu turut berada dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Mereka tidak sempat menyerahkan memorandum semalam kerana pejabat ditutup.

Sebaliknya mereka bercadang untuk menyerahkannya Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali pagi ini di pejabatnya di sini.

Bagaimanapun sehingga 3 petang tadi mereka tidak menyerahkan sebarang dokumen.

Ia disahkan oleh Khairul Fahmi dan Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir sendiri.

“Kami belum menerima apa-apa memorandum setakat ini,” kata Roslan Shahir.

Laporan Harakah Daily kelmarin yang memetik kiriman SMS berkata perhimpunan itu akan diadakan di pekarangan pejabat Perhubungan PAS Selangor di Shah Alam semalam.

Sempena perhimpunan itu, menurut SMS tersebut, satu memorandum akan diserahkan, yang bakal diterima sendiri oleh Hasan.

“Perhimpunan mendesak PAS Selangor keluar Pakatan Rakyat. Datanglah beramai-ramai demi kepentingan Melayu...,” tulis SMS itu dipetik portal tersebut.

Harakah Daily mendakwa Umno mahu mengambil peluang dari masalah dalaman yang berlaku di Selangor sekarang untuk memecahkan PAS ketika wujud spekulasi Umno-BN akan mengambil alih negeri itu bulan depan.

Wan Hilman yang mengaku dirinya ahli PAS dari Bahagian Gombak menafikan dakwaan kononnya kumpulannya didalangi Umno Selangor dan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

http://siasahdaily.blogspot.com/

Tiada ulasan: