"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mayat Wanita Ditemui Di Dalam Almari Di Rumahnya Di Pinggiran Ukay

Kuala Lumpur,31 Dis: Mayat seorang wanita, dengan mulutnya ditampal pita pelekat dan dibungkus dengan selimut, dipercayai dibunuh, ditemui di dalam almari pakaian di rumahnya di Pinggiran Ukay, Kuala Lumpur, malam tadi.

Fazlina Ahmad, 39 tahun, ditemui mati dalam almari bilik tidur utama rumah teres dua tingkat oleh sepasukan anggota polis pada pukul 9 malam, selepas menerima laporan daripada rakan mangsa yang mengadu mangsa gagal dihubungi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Omar Mamah berkata polis menerima laporan pada pukul 1.30 petang dan hanya dapat memasuki rumah mangsa kira-kira pukul 8 malam untuk melakukan pemeriksaan.

ACP Omar berkata mangsa dipercayai mati akibat kelemasan kira-kira sembilan jam lepas, sebelum mayatnya ditemui.

Difahamkan, mangsa tinggal bersama dua anak perempuan, yang masing-masing berusia lima dan tujuh tahun bersama seorang pembantu rumah.

Bagaimanapun ketika pemeriksaan dijalankan, mereka tiada di rumah itu kerana berada di rumah keluarga suami mangsa.

Siasatan awal polis mendapati rumah mangsa tidak diceroboh masuk dan kes berkemungkinan bukan kerana samun.

Polis kini sedang mengesan suspek serta suami mangsa, yang sehingga kini gagal dihubungi.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-bernama-

1 ulasan:

ummi ida berkata...

salam ziarah.Begitulah manusia yg bersifat haiwan,tiada peri kemanusiaan.Apakah kita ingin lihat bangsa kita brtindk begitu jua?Dlm keadaan skrg,tdk mustahil terjd....