"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Aduan polis terhadap 'penyokong, pengundi PAS'

Pemuda PAS Selangor hari ini membuat aduan polis berhubung dakwaan percubaan mensabotaj hubungan parti itu dengan dua lagi rakan kongsi dalam Pakatan Rakyat melalui demonstrasi semalam.

Aduan oleh timbalan ketua dewan tersebut Ahmad Zaidi Abdul Mutalib dibuat di Shah Alam tengah hari ini, berhubung demonstrasi kumpulan yang digelar Gerakan Penyokong dan Pengundi PAS Selangor di hadapan ibu pejabat parti itu semalam.

Ketua Pemuda PAS Gombak Syarhan Humaizi Abd Halim, yang berada di ibu pejabat polis daerah tersebut, berkata aduan itu dibuat setelah mendapati kumpulan tersebut bukanlah mewakili PAS kawasan itu seperti didakwa.

"Kita mendapat kepastian mereka bukanlah daripada kalangan ahli kita, lebih-lebih lagi jurucakap mereka bernama Wan Hilman Wan Abd Rahim," katanya.

"Kita sudah semak dan mereka bukan ahli PAS Gombak."

Tambahnya, kepastian itu diperolehi selepas membuat semakan dengan pangkalan data senarai keahlian PAS.

"Kita dapati ini adalah cubaan untuk sabotaj (Pakatan Rakyat) dan memburuk-burukkan PAS di Selangor sebab mereka berdemo untuk minta PAS supaya jangan digunakan DAP, tetapi mereka bukan ahli PAS," katanya lagi.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: