"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bapa mentua nikah dengan menantu???

SIK: Pasangan bapa mentua dan menantu yang mendirikan rumah tangga meskipun tidak dibenarkan dalam Islam boleh diambil tindakan mengikut undang-undang syariah.

Pelbagai pihak termasuk peguam yang menyifatkan kejadian itu pertama kali berlaku di negara ini menyatakan bukan saja pasangan berkenaan, tetapi mereka yang menjalankan upacara nikah terbabit perlu diambil tindakan.

Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Abdul Shukor Abdul Hamid, berkata tindakan boleh diambil ke atas pasangan berkenaan dan di Selangor misalnya, mereka boleh didakwa di bawah kesalahan sumbang mahram.

“Sepanjang pengalaman saya, kes ini tidak pernah berlaku lagi, namun bagi Jais, kes seperti ini boleh didakwa di bawah Enakmen Jenayah Syariah apabila mereka melakukan hubungan kelamin dan sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, perkahwinan seperti itu jelas haram kerana ibu atau bapa mentua sama taraf dengan ibu dan bapa sendiri.

Harian Metro semalam melaporkan pasangan bapa mentua dan menantu yang dikenali Pak San dan Nita, bernikah pada 8 Disember lalu di negara jiran dengan bayaran RM1,400.

Begitupun mereka hanya sempat hidup sebagai suami isteri selama 21 hari saja apabila Pejabat Agama Islam Daerah Sik menyedari pernikahan itu dan mengambil tindakan awal dengan mengarahkan mereka berpisah.

Peguam syarie yang juga pemilik firma guaman Zaidi Zain and Associates, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain, berkata apabila ada aduan, jabatan agama Islam negeri boleh mengambil tindakan dengan mendakwa pasangan itu di mahkamah.

Beliau berkata, kejadian itu memalukan umat Islam, malah penganjur pernikahan itu juga seharusnya tidak dilepaskan.

“Tindakan boleh diambil ke atas mereka bukan saja pasangan berkenaan tetapi saksi, kadi dan mereka yang terbabit dalam majlis pernikahan itu,” katanya.

Sementara itu, pensyarah psikologi, Jabatan Psikologi dan Kaunseling Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mariani Md Nor, menyifatkan perkahwinan ‘menantuku suamiku’ itu hanya bersandarkan keinginan seks semata-mata.
-hmetro-

Tiada ulasan: