"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Propaganda media jadi mainan pemimpin Umno

M Faqih
KOTA BHARU, 15 Julai:
Sarjana barat mengakui media lebih gemar mencipta propaganda daripada menyatakan kebenaran. Dan lebih malang lagi apabila ada pemimpin mengulas berdasar laporan yang berasas propaganda.

Terbaru dapat dilihat kenyataan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan kesanggupan berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika datang ke Kelantan hari ini.

Sebaliknya media melaporkan perjumpaan itu bagi membincangkan apa-apa perkara termasuk perpaduan Melayu.

Sedangkan Mursyidul Am PAS semalam sekadar menyebut hanya sedia bertemu tanpa menyatakan motif pertemuan dengan Muhyiddin.

Begitu juga dengan laporan media cetak dan elektronik mengenai pencemaran sungai di Kampung Sungai Syam, Kuala Krai didakwa berpunca daripada penerokaan hutan pembangunan projek Ladang Rakyat.

Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed ketika mengulas isu berkenaan dilaporkan berkata, penerokaan hutan untuk Ladang Rakyat di Hulu Kelantan (Sungai Syam) menjejaskan alam sekitar dan pendapatan penduduk setempat.

Namun apa yang berlaku tiada projek Ladang Rakyat di sekitar 30 km daripada perkampungan tersebut.

Projek Ladang Rakyat hanya terletak lebih 40 km di Hulu Temiang, di mana sekarang peringkat pembersihan hutan dengan mengeluarkan balak, tanpa melakukan kerja-kerja tanah.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi berkata, Ladang Rakyat tidak mempunyai projek di sekitar Sungai Syam seperti didakwa media baru-baru ini.

”Tanah milik Ladang Rakyat terletak lebih 40 km daripada kampung terbabit.
Sekarang peringkat mengeluarkan balak dan belum lagi dilakukan kerja-kerja tanah,” katanya di sini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, dakwaan sebuah stesen televisyen dan akhbar mengenai projek Ladang Rakyat di Sungai Syam tidak tepat kerana tanah milik perbadanan berkenaan tiada di kawasan terbabit.

Katanya, beliau hairan bagaimana media dan pemimpin Umno boleh mengaitkan projek Ladang Rakyat yang dikatakan menjadi punca pencemaran sungai.

”Boleh jadi tujuan mereka untuk memburukkan projek Ladang Rakyat yang kini memberi manfaat kepada penduduk miskin apabila menerima dividen RM200 sebulan.

”Biar apa pun kerajaan negeri prihatin terhadap masalah dihadapi penduduk di Sungai Syam yang dikatakan terpaksa menggunakan air keruh pada musim hujan akibat pembangunan tanah dikendali pihak lain,” katanya di sini.

Bagaimanapun menurutnya setiap projek pembangunan yang diluluskan kerajaan negeri mengambil kira laporan penilaian alam sekitar (EIA) dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Katanya, kelulusan setiap projek pembangunan tanah dilakukan mengikut peraturan ditetapkan kerajaan termasuk mempunyai laporan EIA.

Kata beliau pencemaran sungai yang berlaku mungkin ada syarikat lain tidak mematuhi sepenuhnya syarat selepas pembangunan tanah dilakukan.

”Kemungkinan ada syarikat tidak menyediakan perangkap hakisan bagi mengelakkan tanah terhakis ke sungai ketika hujan.

”Kita berharap JAS dan agensi penguatkuasa lain memainkan peranan bagi memantau mana-mana syarikat yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian meninjau dari dekat masalah yang berlaku di Sungai Syam sebelum tindakan lanjut diambil.

Katanya juga kerajaan tidak pernah meluluskan projek pembangunan tanah di kawasan berhampiran tadahan air.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan penduduk di Sungai Syam mendakwa pemberita dari sebuah stesen televisyen keluar masuk ke kampung itu sejak sebulan lalu.

Kata mereka pemberita terbabit hanya menemui pemimpin Umno sehingga timbul cerita sungai keruh yang dikaitkan dengan ladang Rakyat.

Tiada ulasan: