Muhaamad Hafis Nawawi dan Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
am@hmetro.com.my

Putrajaya: Dengan harga hanya serendah RM30 ada warga asing yang memiliki MyKad dengan kualiti rendah atau 'cap ayam' kononya bagi mengelak ditahan pihak berkuasa manakala bagi MyKad palsu lebih berkualiti mampu dijual sehingga puluhan ribu ringgit.
Mendedahkan modus operandi sindiket, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias berkata, sindiket ini tidak bersemuka dengan pembeli MyKad palsu ini sebaliknya tawaran pembelian diadakan di platform media sosial seperti Facebook dan Tiktok, malah ada yang menampalnya di stesen bas.
Menurutnya, mereka yang terdesak mendapatkan MyKad palsu membelinya daripada sindiket.
"Sebahagian besar daripada mereka menggunakan MyKad/ identiti palsu ini bagi mendapatkan pekerjaan seperti pengawal keselamatan atau dalam industri perkilangan. Segala urusan dijalankan secara dalam talian dan telefon bimbit tanpa perlu bersemuka dan penghantaran MyKad palsu itu dijalankan secara kurier.
"Selepas selesai urusan nombor telefon itu akan ditamatkan dan sukar untuk mengesan sindiket ini kerana mereka menggunakan nombor pakai buang," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Harian Metro di pejabatnya di sini.
Badrul Hisham berkata, berdasarkan kes yang dilaporkan, ditangkap serta didakwa, pendatang asing tanpa izin (PATI) memang membeli dan menggunakan MyKad palsu dan sanggup bayar hingga puluhan ribu ringgit untuk bekerja dan tinggal di negara ini tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
"Terdapat beberapa modus operandi pemalsuan MyKad yang pernah ditumpaskan oleh JPN seperti Kad Tiruan Berkualiti Tinggi (High-Grade Forgery) di mana MyKad terbabit hampir menyerupai MyKad tulen dari segi fizikal seperti warna, saiz, dan reka bentuk.
"Mereka menggunakan bahan seperti PVC berkualiti tinggi dan cetak imbasan laser (laser engraving) untuk meniru ciri keselamatan.
"Namun, cip tidak berfungsi kerana tidak mengandungi data biometrik yang sah. Kad palsu sebegini dapat dikesan melalui pemeriksaan menggunakan peralatan JPN," katanya.
Beliau berkata, satu lagi adalah kad plastik biasa yang dilaminasi merujuk kepada MyKad palsu hanya dengan cetakan warna pada kertas atau plastik biasa yang kemudiannya dilaminasi. Ini yang dijual murah sekitar RM30.
"Biasanya digunakan oleh PATI untuk kegunaan harian kerana mereka merasakan dapat melepasi sebarang pemeriksaan dokumen pengenalan diri termasuk sekatan jalan raya, dan pemeriksaan tanpa peralatan khusus. MyKad palsu sebegini sangat mudah kenal pasti kerana tidak mempunyai ciri keselamatan dan kualiti cetakan yang rendah.
"Ada juga yang menggunakan MyKad tulen yang telah hilang atau dicuri dan kemudian diubah suai. Maklumat pada kad (seperti nama, gambar, atau nombor MyKad) diubah suai menggunakan teknik pemadaman laser atau penampalan.
"Cip mengandungi maklumat tulen, tetapi data tidak sepadan dengan maklumat pemilik 'palsu'. MyKad sebegini akan dapat dikesan melalui semakan sistem biometrik JPN (cap jari, wajah)," katanya.
Katanya, dalam tempoh lima tahun daripada 2021 sehingga 2025, sebanyak 350 kes dikesan membabitkan 242 penggunaan kad pengenalan palsu dan 108 kad pengenalan milik orang lain.
"JPN dengan kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sentiasa berusaha untuk membanteras isu pemalsuan MyKad melalui pelbagai mekanisme pengesanan dan langkah pencegahan.
"MyKad telah dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan fizikal dan digital yang sukar untuk dipalsukan. Secara umumnya, tiga kaedah pengesanan pemalsuan MyKad sama ada semakan pada fizikal kad, semakan menggunakan peralatan khas dan semakan maklumat cip dalam sistem JPN," katanya.
Menurutnya lagi, MyKad terdiri daripada pelbagai lapisan bahan polikarbonat yang dibina menggunakan piawaian antarabangsa tertentu.
"Selain daripada itu, MyKad juga dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan dan sangat sukar untuk mana-mana pihak yang cuba memalsukannya. Setiap ciri keselamatan terdapat di pelbagai lapisan kad yang sukar ditiru dan hanya JPN dapat mengesahkan ketulenan ciri-ciri keselamatan terbabit.
"MyKad mempunyai cip elektronik yang menyimpan data peribadi pemilik termasuk data cap jari dan foto pemilik kad. Data dalam cip ini disulitkan (encrypted) dan memerlukan kekunci khas bagi tujuan verifikasi dan nyahsulit (decrypt) sebelum data dalam cip boleh diakses. Ciri keselamatan ini menjadikannya sukar dipalsukan atau diubah. Butiran cip digunakan juga boleh disahkan menerusi semakan sistem di JPN.
"Selain daripada ciri-ciri pada fizikal kad, pengesanan kad palsu juga boleh dibuat menerusi semakan data pemilik kad di dalam sistem di JPN termasuk pengecaman wajah dan semakan cap jari. Ini dapat membantu mengesan cubaan pemalsuan identiti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan