"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sebelum Ayam Berkokok, PKR Dekati Rakyat!

CERAMAH khas beberapa orang Majlis Pimpinan Pusat daripada Kuala Lumpur akan diadakan pada 17 Julai ini bertempat di Kuala Tomani, Tenom; diketuai oleh Chegubard (Badrul Hisham Shaharin) yang akan diiringi oleh Pengerusi Pimpinan PKR Negeri Sabah, Ahmad Tamrin Haji Jaini.

Dalam satu kenyataan kepada Sabahkini.Net, Ketua Biro Info dan Komunikasi, Halik Zaman mengatakan, "Namanya pun 'turun padang', rombongan mesti dibawa berjumpa penduduk-penduduk kampung dan menerangkan halatuju PKR di kampung-kampung serta melihat sendiri kedaifan orang kampung; agar PKR dapat merubah cara hidup mereka apabila Pakatan Rakyat memegang tampuk Kerajaan Malaysia kelak.”

Kata Halik lagi, besar kemungkinan ramai yang bukan ahli serta yang masih di atas 'pagar' akan turut hadir untuk mendengar penerangan dari para pemimpin Majlis Kepimpinan PKR Pusat kerana mereka ingin tahu halatuju PKR sebenarnya daripada pimpinan Pusat.

Bila diasak bertalu-talu oleh Krew Sabahkini.Net kepada Halik, adakah ceramah tersebut ada kena mengena dengan pemilihan Ketua dan AJK Cabang PKR Tenom, Halik menjawab ringkas bahawa isu pemilihan Ketua Cabang PKR Tenom itu tidak penting, yang penting rakyat Tenom faham hala tuju PKR dan Pakatan Rakyat.

Bila ditanya adakah beliau bercadang mahu jadi Ketua Cabang PKR Tenom? Halik menjawab, "Pentingkah perkara itu? Atau lebih penting memantapkan kepercayaan rakyat kepada PKR?"

"Penerangan yang akan dibuat oleh semua penceramah termasuk saya, tidak akan menyentuh atau berkisar tentang siapa yang mahu jadi Ketua Cabang, tetapi ia berkisar secara khusus untuk memberi kefahaman kepada rakyat tentang 'halatuju PKR' dan mengalu alukan ahli ahli baru menyertai PKR," terang Halik.

Halik yang merupakan tenaga penggerak Info dan Komunikasi PKR Negeri menerangkan, jangan tanya beliau perkara yang remeh-temeh, sebaliknya tanyalah kekuatan PKR di pedalaman.

“Saya akan jawab, sebelum ayam berkokok, para pemimpin PKR mesti bangun berkerja kuat untuk memantapkan kefahaman rakyat kepada perjuangan Pakatan Rakyat, insya-Allah kita akan berjaya memerintah," jelas Halik menguntum senyum.

Oleh :
KREW SABAHKINI.NET

Tiada ulasan: