"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dipaksa bogel, kena pukul 23 kali

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki tempatan mendakwa dipukul 23 kali dalam keadaan bogel menggunakan getah paip di bahagian kaki sehingga menyebabkan tulang jarinya retak, di sebuah penjara di sini, 1 Julai lalu.

Akibat insiden itu, mangsa, SP Suppayah yang bekerja sebagai pengawal keselamatan tidak dapat berjalan dengan baik selain menjejaskan pekerjaan dan rutin hariannya kerana terpaksa bercuti sebulan tanpa gaji.

Sebelum ditahan di penjara, Suppayah telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mencederakan isterinya, CM Premma dan dia kemudiannya didenda RM1,000 atau tujuh hari penjara jika tidak membayarnya oleh Mahkamah Majistret, di sini.

Suppayah berkata, selepas hukuman denda dijatuhkan, Mahkamah memberi masa sehingga jam empat petang kepada Premma untuk membayar denda tersebut.

“Bagaimanapun, ketika isteri saya sedang mengeluarkan wang, saya telah pun dibawa ke penjara kira-kira jam tiga petang. Sedangkan, waktu sebenar saya patut ditahan ialah jam empat petang.

“Isteri saya yang datang pada jam 3.45 petang berasa pelik dan terkilan dengan tindakan mahkamah yang menahan saya lebih awal walaupun telah memberi tempoh masa sehingga jam empat petang,” katanya ketika ditemui selepas sidang media anjuran Pas Johor di sini, semalam.

Suppayah berkata, ketika dalam penjara, dia mendakwa dibawa masuk oleh dua anggota penjara lelaki yang memakai baju seperti askar ke dalam satu bilik sebelum menyuruhnya menanggalkan semua pakaiannya dan bertindak memukulnya menggunakan getah paip di kaki sejurus berbogel.

“Pukulan 23 kali di kaki itu sangat menyakitkan kerana saya menghidapi penyakit kencing manis dan diabetes. Selepas dipukul, mereka telah mengeluarkan kata-kata kesat sebelum menyuruh saya mengambil pakaian semula dan keluar dari bilik tersebut.

“Mereka juga telah mengingatkan saya supaya jangan beritahu pada sesiapa tentang kejadian tersebut selepas peristiwa itu,” katanya.

Suppayah kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Sentral sejurus dibebaskan keesokannya, sebelum terus membuat pemeriksaan di Hospital Sultanah Aminah, di sini.

Hasil pemeriksaan mendapati tulang jari kakinya retak dan perlu berehat akibat kecederaan itu.

Menurutnya, dua anggota polis datang ke rumahnya selepas laporan dibuat untuk mengambil kenyataannya kira-kira jam dua petang dan kes berkenaan masih lagi dalam siasatan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kes berkenaan.

“Kes ini masih lagi dalam siasatan kami,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Tiada ulasan: