"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selangor Julang Kebebasan Maklumat, Umno BN Kekang Media Alternatif

Ketika kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat membentang Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat hari ini, ketiga-tiga lidah rasmi parti gabungan Pakatan Rakyat terus berdepan tekanan berterusan daripada kerajaan Persekutuan.

Exco Selangor, Teresa Kok kesal kerana kerajaan Persekutuan pimpinan Umno Barisan Nasional (BN) terus ketinggalan zaman, dengan cuba menghalang rakyat mendapat maklumat semasa.

"Kita sudi bekalkan maklumat kepada siapa yang perlukan maklumat kerajaan negeri. Itu tujuan rang undang-undang ini. Tapi apa yang dilakukan Barisan Nasional sangat berlawanan.

"Sekatan yang dikenakan terhadap media alternatif hanya menyusahkan semua penulis dan pengarang serta rakyat banyak," katanya.

Teresa antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat Selangor yang menyatakan kekesalan berikutan kekangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menekan penerbitan dan penyebaran akhbar rasmi iaitu Suara Keadilan, Roket dan Harakah.

Exco Selangor, Ronnie Liu pula mengganggap tindakan sedemikian sebagai sabotaj kerajaan persekutuan yang gentar dengan kewibawaan lidah rasmi Pakatan Rakyat dalam membongkar penyelewengan Barisan Nasional (BN).

"Kita anggap ugutan ini sebagai sabotaj. Ia menunjukkan kelemahan Barisan Nasional yang takut dengan surat khabar ini kerana ketiga-tiga media membongkar banyak isu dan skandal," katanya.

KDN tidak memperbaharui permit Suara Keadilan awal bulan ini atas alasan editorial lidah rasmi Parti keadilan Rakyat (PKR) tidak memberi alasan munasabah dalam menyiarkan laporan Felda Bankrap bulan lalu.

Harakah dan Roket pula diberi surat tunjuk sebab kerana didakwa tidak memberi salinan akhbar yang baru dicetak kepada KDN mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
-tvselangor-

Tiada ulasan: