"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guru al-Quran, bidan kampung dihargai

Mohd Shubihi Muhamad Zain
KUALA MUDA, 27 Ogos:
Kerajaan Negeri Kedah menyanjungi jasa dan pengorbanan guru-guru dl-Quran dan bidan-bidan sukarela di negeri itu yang tidak mengharapkan apa-apa ganjaran terhadap bakti yang diberikan.

Menyedari jasa dan keringat yang dicurahkan, kerajaan negeri melalui Yayasan Islam Negeri Kedah (Yiked) menghulurkan sumbangan kepada mereka sempena hari raya yang bakal menjelang nanti.

Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, kedua-dua golongan itu sangat berperanan dalam pembentukan masyarakat yang berpegang kepada ajaran Islam hingga ke hari ini.

"Guru-guru al-Quran berperanan mengenalkan ayat-ayat Allah kepada anak-anak kita, manakala bidan-bidan kampung pula merupakan orang yang pertama menyambut kelahiran bayi-bayi kita.

"Segala kerja buat mereka adalah secara sukarela dan tidak mengharapkan apa-apa bayaran, jasa dan pengorbanan mereka amat bermakna dan cukup besar ertinya kepada kita.

"Apa yang kita sumbangkan ini tidak setimpal dengan peranan mereka, tetapi hanya sebagai tanda ingatan ikhlas dan penghargaan daripada kerajaan negeri Kedah terhadap jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan kepada masyarakat selama ini," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Kepada Guru Al-Quran dan Bidan Sukarela Daerah Kuala Muda, di Masjid Bedong, kelmarin. (Gambar)

Seramai 740 guru al-Quran dan bidan kampung sukarela di daerah itu menerima sumbangan dan diraikan dalam majlis yang dianjurkan badan kerajaan itu.

Turut hadir Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar, Ahi Parlimen Merbok, Datuk Rashid Din, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Merdeka, Haji Abdullah Jusoh dan Pengurus Besar Yiked, Haji Abdul Rahman Ismail.

Tiada ulasan: