"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Prof Aziz: PAS boleh laksana hukum hudud tapi bukan ikut Islam era klasik

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud dan negara Islam di negara ini boleh menjadi kenyataan dengan syarat parti Islam itu perlu mendapat sokongan rakyat terlebih dahulu, kata penganalisis politik Prof Abdul Aziz Bari.

Selain itu beliau menyarankan agar PAS mengkaji semula hasrat mahu melaksanakan hukum hudud kerana ia perlu memahami aspek itu dalam konteks Islam “klasik” mengikut peredaran zaman.

“Kedua-dua parti iaitu PAS dan DAP kena faham prinsip ini (hukum hudud).

“Yang jadi masalah adalah PAS memahami hudud dalam konteks Islam klasik manakala DAP pula degil dengan kefahaman Perlembagaan mereka yang tidak tepat,” katanya.

Oleh itu kata beliau, dalam persekitaran sedemikian kedua-dua PAS dan DAP perlu mengambil sikap mendiamkan diri.

“Jadi dalam keadaan sekarang PAS dan DAP kena diam dan berfikir. Jangan cakap kalau tidak faham,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata hukuman hudud boleh dilaksanakan dalam kerangka Perlembagaan negara sedia ada.

“PAS perlu mendapatkan sokongan rakyat dan untuk dapat sokongan rakyat PAS perlu jelaskan kepada mereka apa itu hukuman hudud.

“Selain itu, dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan sedia ada ia boleh dilaksanakan tetapi yang paling penting adalah penerimaan dan sokongan rakyat,” katanya.

Justeru tambah beliau, walaupun DAP menentang pelaksanaan hukum hudud dan negara Islam seperti yang dicadangkan PAS tetapi ia tetap boleh dilaksanakan sekiranya ia diluluskan oleh Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sokongan atau tentangan DAP penting tapi apa yang lebih penting ialah sokongan dan dokongan rakyat kerana setiap undang-undang itu perlu diluluskan Parlimen dan DUN

“Ertinya kalau rakyat faham dan mahu undang-undang hudud dilaksanakan tiada siapa yang boleh menghalang,” katanya.

Bagaimanapun beliau yang juga pakar perundangan dari Universiti Islam Antarabangsa mengakui bahawa isu hudud dan negara Islam bukan perkara utama kerana ia tidak termasuk dalam kerangka Dasar Bersama Pakatan Rakyat (PR).

“Kedua-dua aspek itu bukan perkara utama kerana PR kini perlu dahulukan perkara yang termaktub dalam Dasar Bersama PR termasuk membasmi kemiskinan, rasuah dan memastikan hak asasi dihormati,” katanya.

PAS sebelum ini meminta DAP memahami dasar perjuangan PAS yang bercita-cita mahu melaksanakan hukum hudud dan negara Islam, sekiranya menawan kerajaan persekutuan, bagi mengatasi masalah jenayah dan sosial membabitkan orang Islam.

Parti itu juga menegaskan, ia tidak akan kompromi sama sekali dalam soal menegakkan hukum hudud dan cita-cita menjadikan Malaysia negara Islam.

Namun Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata parti itu tetap menolak idea mahu melaksanakan undang-undang hudud dan negara Islam atas alasan ia tidak pernah disentuh dalam Dasar Bersama PR.

Lim juga mempertahankan pendirian konsisten parti itu yang sentiasa menekankan bahawa Malaysia sebuah negara sekular.

Minggu lalu, Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh mengumumkan bahawa beliau kekal menentang undang-undang sedemikian jika PR mengambil alih kerajaan persekutuan.

Kata Karpal, undang-undang sedemikian “tidak berperlembagaan” dan setiap orang perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan: