Ali Hashim
ALOR SETAR, 27 Okt: Kestabilan ekonomi Negeri Kedah memberikan keyakinan kepada institusi kewangan terutamanya perbankan untuk membuka lebih banyak lagi cawangan dalam negeri ini.
Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, ketika melancarkan bangunan baru EONCAP Islamic Bank Berhad cawangan Alor Setar di Jalan Pegawai, semalam.
Menurut beliau, lebih banyak cawangan perbankan akan membuka cawangan mereka di negeri ini kerana keyakinan terhadap kedudukan ekonomi serta strategi perancangan dan pelaksanaan yang dibawa oleh kerajaan negeri.
Kerajaan negeri juga, katanya mengharapkan institusi kewangan tempatan untuk memacu kejayaan dengan membantu menjayakan matlamat ekonomi negeri.
Tambahnya, pertambahan permohonan bagi membuka cawangan perbankan di sini membuktikan bahawa pelabur yakin dengan peluang pelaburan yang akan mereka perolehi apabila membuat pelaburan dalam negeri Kedah.
"Sebenarnya penawaran produk yang ditawarkan oleh institusi perbankan tersebut adalah tarikan utama kearah pertumbuhan positif perbankan Islam jika dibandingkan dengan nilai rangkaian cawangan yang dibuka," katanya lagi.
Tambahnya, sistem perbankan dan kewangan Islam merupakan satu sistem kewangan pilihan yang bukan saja diterima oleh umat Islam bahkan ia menjadi suatu tarikan kepada masyarakat bukan Islam.
"Oleh kerana terbuktinya kejayaan sistem perbankan Islam tersebut, maka ianya mampu untuk berjaya bukan saja diperingkat tempatan malahan juga sehingga ke peringkat global apabila ia dapat memanfaatkan semua golongan masyarakat dan juga pelaburan yang telah dibuat," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan