"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mufti adalah ketua agama bukan ketua kebangsaan.

Assalaamualaikum dan salam hormat. Kenyataan yang arif Sahibus Samahah Harussani Zakaria, Mufti Perak yagn dipetik dari Utusan.com.my, sangat menarik perhatian penulis. Dalam kenyataan itu beliau dikatakan menyebut beliau tidak berminat untuk campur tangan dalam politik. Beliau hanya berminat dan aktif dalam hal perpaduan melayu sahaja 

Penulis ingin mengulas secara mudah sahaja dalam hal kenyataan Tuan Mufti ini. Tuan Mufti sepertinya tidak berminat untuk membicarakan perpaduan Islam tetapi lebih berminat membicarakan perpaduan melayu. Jelas kerana Tuan Mufti berbangsa melayu, bermastautin dalam Tanah Melayu, berbaju melayu dan menaiki keretapi Tanah Melayu. Tuan Mufti tidak berbangsa Cina, tidak bermastautin di negara Cina, tidak berbaju ceong sam dan tidak menaiki beca Cina.

Apakah ertinya kenyataan Tuan Mufti ini? Apakah Mufti dalam agama Islam ini hanya berfatwa untuk bangsa Melayu sahaja? Apakah jika Tuan Mufti ini dari bangsa Cina, Tuan Mufti akan bercakap tentang perpaduan Cina?

Cubalah negara Malaysia ini mengujudkan pula Mufti yang berbangsa Cina untuk bangsa Cina. Dan tentukan tugasnya untuk memberikan hukum hakam untuk masyarakat Islam Cina. Apakah perasaan Tuan Mufti Harussani jika Mufti berbangsa Cina itu berkata  “Saya sebagai Mufti Cina berseru kepada bangsa Cina di Malaysia ini bersatu”? Dan apakah perasaan Tuan Mufti jika kerajaan Perak sekarang asalnya diperintah oleh kerajaan tetapi diperolehi dengan jalan mahkamah oleh pembangkang, dan Mufti berbangsa Cina akan berkata “Ayuh DAP dan orang Cina bersatulah untuk merampas semula Perak dari Melayu pembangkang”?

Penulis secara rendah hati memberikan nasihat kepada Tuan Mufti yang arif, berhentilah memperkatakan hanya perpaduan bangsa tetapi berserulah kepada perpaduan Islam. Orang Cina dan India juga ramai sekali bergama Islam. Apabila Tuan Mufti berseru kepada perpaduan Melayu, apakah orang Cina dan India Islam itu tidak termasuk dalam agenda institusi keMuftian?

Manusia perlukan keamanan bukan persengketaan dan prasangka. Maka haruslah Tuan Mufti bersuara ke arah keamanan dan persahabatan, bukan kearah kebangsaan. Bangsa Arab tidak mampu mengembalikan tanah yang terlepas ke tangan Israel walaupun mereka mempunyai Liga Arabnya. Bahkan Pertubuhan negara Islam menjadi “Oh I see” sahaja.

Tuan adalah Mufti agama Islam, bukan Mufti bangsa Melayu. Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam mempertaruhkan jiwa dan raganya untuk mempersatukan bangsa-bangsa yang bercelaru di bawah payung Islam. Apakah kita pula mahu menghancurkannya?

Wassalam.

Tiada ulasan: