KUALA LUMPUR 30 OKT: SUARAM dan 'Lawyers For Liberty' hari ini menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara di Balai Polis Bukit Aman dalam isu penangkapan dan penindasan terhadap K Selvachandran pada 25 Oktober 2010 lepas.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan SUARAM mengecam tindakan polis tersebut yang menyalahi undang-undang dan piawaian antarabangsa.
"K Selvachandran merupakan saksi utama yang telah memberi keterangan terhadap pihak polis dalam Inkues kematian dalam lokap R Gunasegaran yang baru selesai pada 25 Oktober 2010. Pada malam hari yang sama keputusan inkues tersebut, pihak polis bertindak menangkap Selvachandran." Apabila anak-anak Selvachandran bertanya kenapa bapa mereka diheret, pihak polis menjawab dengan memukulnya di hadapan anak-anak beliau sendiri.
Tegas SUARAM lagi, "Trauma yang dihadapi oleh anak-anak Selvachandran ini tidak dapat dibayangi dan merupakan satu tindakan menyalahi undang-undang dan piawaian antarabangsa melindungi kepentingan kanak-kanak."
"Kemudian pihak polis meneruskan tindakan zalim dan bersifat keji terhadap isterinya, S Saraswathy dengan menyuruh beliau untuk mencium suaminya sebelum memukul Selvachandran di hadapannya."
Tegas SUARAM lagi, "Selvachandran yang telah melaksanakan tugasnya sebagai seorang rakyat dengan bercakap benar di dalam inkues kematian dalam lokap Gunasegaran kini ditahan di suatu lokasi yang tidak diketahui tanpa akses kepada keluarga atau peguamnya."
Adalah dipercayai Selvachandran sedang ditahan tanpa bicara di bawah Ordinan Darurat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan