"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Tsunami' Erdogan landa PAS?

Jimadie Shah Othman
Keputusan pemilihan jawatankuasa pusat PAS yang diumumkan hari ini menggambarkan bahawa 'tsunami' kumpulan Erdogan atau pro-Pakatan Rakyat telah melanda parti Islam itu.

Dalam keputusan yang diumumkan sebentar tadi, pemidato terkenal Mohamad Sabu - yang dilihat tidak memihak kepada mana-mana - disokong kuat oleh kumpulan itu.

Kemenangan Mohamad yang bukan daripada golongan ulama juga pertama kali berlaku dalam tempoh 20 tahun selepas konsep kepimpinan ulama diperkenalkan oleh parti Islam itu sekitar tahun 1980-an.

NONEManakala bagi tiga naib presiden yang baru dipilih pula, dua daripadanya - exco kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa dan ahli parlimen Datuk Mahfuz Omar - daripada kumpulan itu.
Manakala anggota parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub pula walaupun diletakkan dalam 'chai' (senarai) kumpulan ulama, pendekatannya tidak jelas kelihatan memihak kepada mana-mana pihak.

Mahfuz dan Salahuddin merupakan penyandang jawatan itu manakala Husam pula pernah menjawatnya sebelum sebelum itu.

Asakan padu Erdogan turut menyingkirkan bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai selebriti PAS dan calon pilihan kumpulan ulama, Ketua Penerangan Idris Ahmad.

Di peringkat jawatankuasa pusat pula, sekurang-kurangnya 10 daripada 18 yang dipilih juga daripada kelompok Erdogan atau cenderung kepada kepimpinan Mohamad.

Tsunami besar ini selari dengan trend pemilihan dalam pemilihan muktamar di mana hampir semuanya dimenangi golongan wakil rakyat dan profesional.
Walaupun kemenangan Mohamad boleh dikatakan bukan mutlak kerana beliau hanya mendapat kira-kira satu pertiga sokongan perwakilan, keputusan ini masih boleh dilihat sebagai isyarat penting bahawa akar umbi PAS mahukan perubahan.
NONE
Ia juga sejajar dengan penegasan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam supaya anggota parti itu bersedia "sepenuh kudrat" bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Muktamar PAS ke-57 yang sedang berlangsung dipercayai yang terakhir sebelum parlimen dibubarkan pada bila-bila masa sahaja daripada sekarang.

Bagaimanapun, perubahan dalam PAS tidak boleh dianggap bahawa perwakilan menolak sepenuhnya penguasaan ulama dalam parti itu. Ini kerana, perwakilan berjaya diyakinkan bahawa institusi itu tetap terpelihara melalui MajliS Syura Ulama.

Menurut anggota parlimen Shah Alam Khalid Samad dalam sebuah seminar berhubung pemilihan parti di Kuala Lumpur sebelum ini mendedahkan, ketika menyokong konsep kepimpunan ulama kira-kira 20 tahun, mereka merujuknya kepada penubuhan Majlis Syura Ulama.

NONEIa bukannya bermaksud pemimpin semua peringkat dalam PAS mestilah terdiri daripada golongan ulama, tambahnya.
Mohamad juga akan menghadapi tugas pertamanya sebagai orang nombor dua dalam parti dengan menjayakan perhimpunan bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil bulan depan.

Dengan kejayaannya mengumpulkan 40,000 - antara perhimpunan terbesar setakat ini - pada tahun 2007, Mohamad dijangka akan menonjolkan keupayaan sebenarnya sebagai pemimpin akar umbi.

Malah, cakap-cakap di kalangan perwakilan, sudah ada gurauan bahawa dengan kemenangan Mohamad, PAS patut mewujudkan biro baru iaitu "biro demonstrasi".

Sementara itu, kemenangan Mohamad juga dilihat bakal mengukuhkan kedudukan PAS dalam Pakatan, sekali gus memainkan peranan lebih besar, khususnya dalam pembahagian kerusi pilihan raya.

Dengan pemimpin yang tegas seperti Mohamad, dibantu Husam dan Mahfuz, PAS kini tidak boleh lagi dianggap sebagai 'budak kecil' ketika duduk sebaris bersama rakannya PKR dan DAP.
NONE
Keadaan ini jauh berbeza dengan sebelum ini di mana Nasharudin sering dikaitkan dengan peribadi lembut dan lemah dalam membuat keputusan dalam mesyuarat.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu juga mempunyai hubungan yang baik dengan DAP, terutamanya dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng yang sering dirujuknya sebagai "adinda saya".

Bagaimanapun, sama ada formula ini akan berjaya dalam pilihan raya umum depan, mungkin hanya Mohamad dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja yang dapat menjawabnya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: