"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemuda PAS Wilayah tawar Hata sertai PAS

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 1 Jun: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) amat mengalu-alukan jika mantan Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ), Mohd Hata Wahari (gambar) mahu menyertai PAS.
"Parti Islam inilah medium terbaik buat beliau untuk meneruskan perjuangan bagi mengangkat suara-suara wartawan yang tertindas dan juga mengembalikan hak kebebasan akhbar dinegara ini," kata Ketua Penerangannya, Herman Samsudeen

Bagi beliau, berjuang bersama PAS sebagai satu pasukan adalah lebih baik dari terus bersendirian dan Pemuda PAS Wilayah bersedia membantu beliau jika beliau benar-benar berminat menyertai PAS.

Pemuda PAS Wilayah juga bersedia menemui beliau pada bila-bila masa untuk berdiskusi mengenai hal ini.

"Harapan DPPWP, semoga beliau memilih tempat yang lebih baik untuk meneruskan perjuangan dan PAS membuka pintu seluas-luasnya untuk beliau menjadi ahli," kata Herman.

Hata Wahari dalam kenyataannya baru-baru ini berkata, beliau sedia menimbang untuk menyertai parti politik bagi meneruskan perjuangannya selepas tidak lagi terlibat dengan NUJ.

Bercakap ketika dihubungi Harakahdaily sebelum ini, bekas wartawan kanan Utusan Malaysia itu berkata, beliau bagaimanapun masih belum membuat keputusan parti mana mahu disertainya.

"Setakat ini saya berjuang secara individu dahululah. Lagi pun parti politik mana nak terima saya.

"Lain la kalau PAS tawar, saya boleh la pertimbangkan," katanya dalam nada berseloroh.

Hata melepaskan jawatannya sebagai presiden NUJ berkuat kuasa serta merta selepas dipecat daripada Utusan Melayu, bulan lalu.

Menurut Hata, keputusan itu diambilnya demi kepentingan kesatuan berkenaan.

"Saya tidak mahu NUJ timbul masalah dengan Jabatan Hal Ehwal Pendaftaran Kesatuan Sekerja sebab saya bukan lagi ahli mana-mana anggota kesatuan," katanya lagi.

Tiada ulasan: