"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Si botak tempah bala (Gambar)

Kuala Lumpur: Seorang penjenayah botak seolah-olah sengaja menempah bala apabila dibelasah separuh mati oleh penduduk selepas cuba merompak seorang wanita.

Dalam kejadian jam 7.31 pagi semalam, suspek berusia 31 tahun dikesan menyamun mangsa di kawasan tangga sebuah pangsapuri di Pantai Dalam di sini.

Suspek dilapor menggunakan sepucuk pistol tiruan dan sebatang besi bagi menakut-nakutkan mangsanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, mangsa berusia 28 tahun mendakwa diserang suspek memakai kemeja-T dan seluar jeans.

“Suspek dilapor mencekik leher mangsa sebelum mengacukan pistol tiruan dibawa ke belakang kepala wanita itu.

“Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa menyerahkan barangan berharga seperti wang tunai dan telefon bimbit dianggarkan bernilai RM1,750 sebelum melarikan diri,” katanya.

Zainuddin berkata, sebaik suspek melarikan diri, mangsa menjerit meminta pertolongan dari orang ramai.

“Jeritan mangsa didengari penduduk kawasan perumahan itu sebelum mereka bertindak mengejar dan menangkap suspek.

“Penduduk terpaksa bergelut dengan suspek selama hampir 10 minit berikutan penjenayah itu bertindak agresif melawan dan cuba memukul penduduk,” katanya.

Menurutnya, tindakan ganas suspek menyebabkan orang awam hilang sabar sebelum membelasah penjenaha itu.

Katanya, suspek dilapor cedera di badan dan kepala akibat dipukul orang ramai.
“Penduduk kemudiannya menghubungi pihak berkuasa bagi memaklumkan kejadian itu. Sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum mereka menahan lelaki terbabit.

“Pihak berkuasa turut merampas sepucuk pistol tiruan dan besi yang digunakan suspek ketika merompak mangsa,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Pantai di sini, untuk tindakan lanjut manakala kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan (KK).
-hmetro-

Tiada ulasan: