"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan dera keluarga saya, Anwar rayu Zahid

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara merayu menteri dalam negeri supaya membenarkan keluarganya dan peguam berjumpa dengannya.

Dalam satu pesanan lisan ringkas selepas muncul di Mahkamah Tinggi Jalan Duta Kuala Lumpur hari ini, Anwar meminta Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar tidak "mendera" ahli keluarganya dengan menyekat akses mereka kepadanya.

"Saya minta pertimbangan Zahid berkaitan urusan keluarga dan peguam. Semuanya terlalu ketat. Nak dera Anwar, faham. Saya faham. Itu saya tak ada masalah.

"Tapi janganlah dera keluarga saya. Keluarga nak jumpa susah... bagilah jumpa sekejap. Jangan sekat peguam saya. Ini buku nota pun tidak boleh.

"Saya minta Zahid timbang. Timbang keluarga dan kerja urusan peguam," kata Anwar.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir di Mahkamah Tinggi Jalan Duta Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 19 Ogos, 2015Terdahulu hari ini, anak Anwar, Naib Presiden PKR Nurul Izzah memberitahu media pihak penjara mengenakan sekatan kepada bapanya daripada dilawati ahli keluarga, doktor dan peguam sejak seminggu lalu.

Beliau berkata, ia bermula pada hari Zahid mendedahkan wujud satu plot melibatkan ahli Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui suatu akuan berkanun.

Zahid ialah timbalan perdana menteri. Pada masa sama beliau juga menteri dalam negeri yang menyelia Jabatan Penjara.

Ketua Whip PKR Datuk Johari Abdul juga berkata, Anwar dinafikan rawatan perubatan yang diperlukan untuk pelbagai penyakit dihidapi beliau, walaupun Najib pada Jun mengarahkan pihak berkuasa yang berkaitan memberikan rawatan kepada pemimpin PKR itu.

Anwar di mahkamah hari ini berkata, anak lelakinya yang akan pergi ke luar negara tidak lama lagi dihalang daripada melawatnya.

Bekas ketua pembangkang itu dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun kerana kesalahan liwat selepas gagal membatalkan sabitan itu pada Februari.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: