"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selepas Kota Raja, AJK PAS Shah Alam pula lepaskan jawatan

Tiga pemegang jawatan tertinggi PAS Kawasan Shah Alam letak jawatan menjelang penubuhan rasmi parti baharu kumpulan progresif hujung bulan ini.

Tiga pemegang jawatan tertinggi PAS Kawasan Shah Alam melepaskan jawatan mereka menjelang penubuhan rasmi parti baharu kumpulan progresif hujung bulan ini.

Pengumuman itu dibuat dalam satu kenyataan bersama bekas yang dipertua Azli Yusof, bekas timbalan yang dipertua Zulkifli Mohd Nani dan bekas naib yang dipertua Mohd Jamil Abd Rahim.

"Kami selaku yang dipertua, timbalan yang dipertua dan naib yang dipertua PAS Kawasan Shah Alam mengumumkan peletakan jawatan berkuatkuasa 19 Ogos 2015, bersama-sama 18 ahli jawatankuasa PAS Kawasan Shah Alam sesi 2015-2017.

"Selain itu, ketua Wanita, timbalan ketua Wanita dan naib ketua Wanita turut meletakkan jawatan bersama-sama 11 AJK Wanita PAS Kawasan Shah Alam.

"Keseluruhan AJK Dewan Himpunan Penyokong PAS, DHPP Kawasan Shah Alam juga meletakkan jawatan mereka," kata kenyataan mereka.

Mereka berkata peletakan jawatan secara baik itu dibuat pada mesyuarat PAS Shah Alam semalam dan penyerahan tugas dilakukan kepada setiausaha PAS kawasan itu "dalam suasana penuh persefahaman dan kasih sayang".

"Peletakan jawatan ini bukan bertujuan melemahkan jentera PAS di Shah Alam, tetapi kerana ingin bersama usaha perjuangan Islam melalui wadah yang lebih kami yakini," kata mereka lagi merujuk kepada Gerakan Harapan Baru (GHB) yang dimaksudkan sebagai wadah baharu itu.

"Kami juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada PAS Kawasan Shah Alam di bawah kepimpinan yang baru nanti. Mudah-mudahan semua akan terus istiqamah dengan perjuangan Islam," kata kenyataan itu.

Mereka dijangka akan menyertai sebuah parti Islam baru yang dinamakan Parti Amanah Rakyat (Amanah) yang akan dilancarkan pada hari kemerdekaan 31 Ogos ini.

Semalam, semua pemimpin PAS kawasan Kota Raja meletakkan jawatan selain turut membubarkan 9 cawangan di bawah mereka.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: