"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amanah berusaha tidak jadi punca kejatuhan PAS Kelantan

ZULKIFLI SULONG
Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan akan sedaya upaya memastikan kehadirannya tidak menjadi punca kejatuhan kerajaan PAS di Kelantan yang dibina allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak lebih 25 tahun lalu.

Namun, jika pimpinan PAS yang ada terus mengambil sikap tidak mahu berbincang dengan mereka, apa-apa keputusan mereka selepas ini akan diambil secara sendiri, kata Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

"Saya berpesan kepada 33 ahli jawatankuasa (AJK) PAS kawasan Kota Baru yang saya tinggalkan agar terus kekal dalam parti itu untuk mengelakkan ketegangan.

"Saya akan mencari ahli Amanah lebih di kalangan yang belum berparti, di samping di kalangan ahli PAS yang memang bersama saya.

"Saya akan buktikan kepimpinan Amanah Kelantan lebih ramai di kalangan yang bukan ahli atau pemimpin PAS sebelum ini," katanya sambil menambah, barisan kepimpinan Amanah Kelantan akan diumumkan 11 September ini.

Bekas yang dipertua PAS Kota Baru itu, yang juga bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN)) Kelantan itu, kini meninggalkan PAS dan memimpin Amanah negeri.

Katanya, daripada 80,000 pengundi di Kelantan, hanya kira-kira 8,000 saja ahli PAS ketika ini.

"Saya akan memberikan fokus kepada 72,000 pengundi yang belum menjadi ahli PAS untuk menjadi ahli dan pemimpin Amanah di Kelantan," katanya.

Rahim bertekad membuktikan mereka bukan golongan yang kecewa kerana kalah dalam pemilihan PAS tetapi kelompok baru yang mahu membina negara yang lebih baik.

Kenyataan Rahim ini dibuat ketika khabar angin bertiup kencang mengatakan lebih ramai wakil rakyat di Kelantan menyokong Amanah berbanding PAS, di negeri yang bertahun lama diperintah parti Islam itu.

Lima daripada 9 ahli Parlimen PAS di Kelantan didakwa menyokong Amanah manakala 8 hingga 16 daripada 32 ahli DUN (Adun) PAS di negeri itu dipercayai menyokong Amanah.

Kelantan mempunyai 45 Adun, 32 darinya PAS, seorang PKR dan 12 dari Barisan Nasional (BN). Manakala bilangan ahli Parlimen di negeri itu pula, kesemuanya 14, dengan 9 dari PAS dan selebihnya BN.

Jika 12 Adun PAS menarik diri daripada menyokong kerajaan sedia ada, PAS perlu mencari rakan kongsi baru bagi mengekalkan kerajaan yang ada atau bersedia untuk menjadi kerajaan minoriti di Kelantan.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub berkata, PAS tidak akan bekerjasama dengan Gerakan Harapan Baru (GHB), yang kini membentuk Amanah, di negeri itu.

Namun begitu, Rahim berkata, selagi beliau mengetuai Amanah di Kelantan, beliau akan terus menjadikan Umno sebagai musuh dan PAS akan kekal sebagai kawan.

Beliau juga memberikan jaminan, tidak akan berlaku pertandingan 3 penjuru antara Amanah, PAS dan Umno di Kelantan kerana ia hanya akan menguntungkan Umno.

"Saya akan pastikan tidak berlaku pertandingan tiga penjuru antara PAS, Amanah dan BN untuk kerusi DUN.

"Jika berlaku pertandingan antara PAS melawan BN untuk mana-mana kerusi DUN di Kelantan dalam pilihan raya umum ke-14 nanti, saya akan pastikan Amanah membantu dan menyokong calon PAS," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau juga memberikan ingatan kepada penyokongnya agar sentiasa menjaga adab "biarpun 'rakan' kita melabel atau membuat serangan yang mungkin tidak boleh kita terima"
-malaysianinsider-

1 ulasan:

oranqtua berkata...

Syabas, pemimpin yg berjiwa besar spt ini lah yg kita perlukan. Bukan yang asyik menyalahkan orang lain saja.