"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kisah sebenar tragedi kehilangan murid Orang Asli SK Pos Tohoi

Murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi melarikan diri dari asrama pada 23 Ogos kerana takut dihukum guru selepas mandi di sungai tanpa kebenaran. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Oktober, 2015.
Murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi melarikan diri dari asrama pada 23 Ogos kerana takut dihukum guru selepas mandi di sungai tanpa kebenaran.

Polis Kelantan hari ini memberi penjelasan mengenai kejadian sebenar berhubung kehilangan 7 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang melarikan diri dari asrama pada 23 Ogos lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata rentetan kejadian itu bermula pada 22 Ogos apabila sekumpulan 25 murid sekolah itu keluar mandi ke sungai berdekatan pada 1 petang dan pengawal sekolah kemudiannya memaklumkan perkara berkenaan kepada seorang warden.

Warden itu kemudiannya memanggil 3 daripada 25 murid terbabit dan memaklumkan akan mengenakan hukuman ke atas mereka pada keesokan harinya.

"Kira-kira 9 malam, 23 daripada 25 murid berkenaan berbincang dan merancang untuk melarikan diri ke kampung mereka iaitu Kampung Penad dan Kampung Gawin pada keesokan pagi," katanya

Mengulas lanjut, Mazlan berkata pada 7 hingga 9 pagi, 23 Ogos pula warden membuat pemeriksaan dan mendapati 23 murid asrama melarikan diri dan warden bersama Pembantu Pengurusan Asrama, pengawal keselamatan dan 2 penduduk kampung mencari murid berkenaan.

"Mereka kemudiannya bertemu dengan 16 murid ini di satu lokasi pada 6 petang dan memujuk mereka untuk pulang ke asrama, bagaimanapun 7 belum ditemui sebelum pihak sekolah yang dibantu penduduk kampung melakukan gerakan awal mencari mereka pada 9 malam hingga pukul 12.30 pagi keesokannya (24 Ogos),” katanya.

Beliau berkata rancangan murid berkenaan melarikan diri dari asrama sekolah tersebut diketahui hasil temu bual yang dijalankan ke atas 16 murid yang kembali ke asrama selepas dipujuk guru mereka.

Katanya, pada 24 Ogos, pihak sekolah dan penduduk kampung meneruskan usaha pencarian bermula 8 pagi hingga 3 petang dalam lingkungan 1 kilometer (KM) dari kawasan sekolah serta berjumpa dengan ibu bapa murid berkenaan di Kampung Penad dan Kampung Gawin.

"Namun, selepas gagal menemui ketujuh-tujuh murid berkenaan di kampung masing-masing, pihak sekolah kemudiannya membuat laporan polis pada 2.25 pagi pada 25 Ogos sebelum Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menghantar 5 anggotanya ke Pos Tohoi pada 9.30 pagi untuk menjalankan operasi pencarian di kawasan berdekatan," katanya.

Katanya, bermula pada 25 Ogos, operasi mencari dan menyelamat (SAR) 7murid berkenaan digerakkan, sekali gus menolak dakwaan di laman sosial yang mendakwa pasukan SAR hanya melaksanakan operasi berkenaan pada 27 Ogos.

"Pihak sekolah juga lambat membuat laporan polis kerana pernah ada kejadian murid bertindak melarikan diri dari asrama, namun ditemui ketika mencari murid berkenaan di rumah mereka," katanya.

Mazlan berkata lebih 350 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan dan awam terlibat dalam operasi berkenaan sehinggalah pasukan SAR menemui mayat pertama pada 7 Oktober lepas.

Miksudiar Alui, 11, dan Norieen Yaakob, 10, ditemui selamat oleh pasukan SAR pada Jumaat lepas.

Mereka adalah antara 7 murid SK Tohoi di Gua Musang yang dilapor melarikan diri dari asrama sekolah pada 23 Ogos lepas kerana takut dikenakan tindakan oleh guru kerana mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran.

Dua lagi murid, Sasa Sobrie, 8, dan Ika Ayel, 9, disahkan meninggal dunia manakala dua rangka turut ditemui tetapi masih belum dikenal pasti. Tiga lagi murid dalam insiden itu adalah Linda Rosli, 8, Haikal Yaakob, 8, dan Juvina David, 7.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: