"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Berhijrahlah Husam, Amanah menanti

Berhijrahlah Husam, Amanah menanti
Mohd Azhar Abd Rahman
Kenyataan Datuk Husam Musa, bekas naib presiden PAS yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor untuk kekal dalam PAS dilihat sebagai tekad dan iltizam beliau untuk melihat PAS kekal sebagai kerajaan di negeri Kelantan.

Namun kenyataan beliau sedikit sebanyak menimbulkan persoalan apabila sinar harian dalam muka depan akhbarnya meletak tajuk “ Saya PAS sampai mati “ sedangkan kenyataan sebenar beliau adalah “sebolehnya saya mahu kekal dalam PAS sampai mati”.

Dalam kenyataannya itu beliau bertegas punca perpecahan yang berlaku dalam PAS bermula apabila budaya fitnah-memfitnah sesama ahli dan pimpinan tidak terkawal menyebabkan ramai rakan-rakan seperjuangannya mengambil tindakan menubuhkan parti baharu, Parti Amanah Negara (Amanah) selepas melihat PAS mengambil sikap bertentangan dengan pendirian semasa adanya Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pakatan Rakyat yang menjadi alternatif terbaik bagi menggantikan Barisan Nasional dalam dua pilihan raya umum sebelum ini sudah terkubur. Husam yang juga antara pemain utama dalam menggerakkan gabungan ini ternyata memberi impak kepada kesedaran masyarakat selepas beliau diumumkan sebagai calon yang akan bertanding di parlimen Putrajaya.

Suasana ketika itu memperlihatkan pakatan begitu hampir dengan Putrajaya dan sambutan dalam siri-siri kempen Husam begitu menggalakkan. Semua itu adalah sambutan penyokong luar Kelantan terhadap Husam. Tidak dinafikan beliau mempunyai pengaruh yang cukup besar di dalam PAS. Tidak kurang juga yang membencinya dengan melemparkan pelbagai tohmahan untuk mencalar kredabilitinya sebagai orang harapan Allahyarham Nik Aziz. Segalanya berubah setelah pemergian Nik Aziz .

Kocakan dalaman PAS yang sebelum ini masih mampu dikawal menjadi semakin kuat hingga pelbagai label dan kalimah jijik dilempar kepada pimpinan tertentu. Husam tidak terkecuali daripada mehnah ini. Beliau selama ini menjunjung tinggi kepimpinan ulama turut disenarai sebagai pimpinan yang tidak wala’ kononnya. Melihat kepada suasana tidak terkawal itu, beliau lebih banyak mendiamkan diri daripada melawan. Sehinggalah beliau mengeluarkan kenyataan yang beliau masih berharap untuk berada di dalam PAS sehingga ke akhir hayatnya. Namun perkataan ‘sebolehnya’ itu menggambarkan keadaan boleh berubah kepada sebaliknya. Ramai melihat Husam akan terus lenyap daripada menjadi penggerak dalam perubahan politik Malaysia ketika ini sekiranya beliau masih kekal di dalam PAS.

Kedudukan beliau di dalam PAS menyukarkan beliau untuk memberi sumbangan yang maksimum kepada gerakan massa yang mahu perubahan sebenar berlaku di Malaysia. Husam seharusnya memikirkan masa depan Malaysia yang mana beliau boleh berada pada kedudukan yang sesuai dengan kompetensinya berbanding hanya menghantar surat terbuka kepada kerajaan negeri Kelantan yang sedia maklum hanya memandang enteng segala nasihat yang diberikan malah menganggap tindakan itu menentang ulama’ apatah lagi dari susuk bernama Husam.

Husam seharusnya keluar daripada kepompong Kelantan dan berhijrah ke tempat lain yang mewakili aspirasi sebenar rakyat Malaysia. Husam harus berada di pentas nasional untuk membawa obor perubahan bersama anak muda yang sentiasa berada di belakangnya.

Husam harus memberi khidmat kepada seluruh rakyat Malaysia bukan hanya di Kelantan. Husam seharusnya menjadi milik Malaysia, bukan hanya milik Kelantan. Dalam suasana mutakhir ini, penyokong dan sahabat beliau dilihat ternanti-nanti kehadiran Husam untuk terus berjuang bersama mereka. Paling jelas apabila, ramai melihat Husam antara pemimpin yang layak untuk menjadi pengganti Anwar satu ketika nanti. Husam harus melihat matlamat yang lebih besar daripada bernostalgia dengan kenangan dan kegigihan beliau semasa di dalam PAS.

PAS dalam tempoh 5 tahun ke depan ini dijangka akan terus begitu. Meskipun bakal dikecam, Husam tidak sepatutnya mengalah kerana sejarah pasti akan membela Husam atas sumbangan dan pengorbanan beliau. Ramai pemerhati yakin, sekiranya Husam mengumumkan kemasukannya ke dalam Amanah, satu gelombang besar akan berlaku. Amanah akan lebih mantap dengan kehadiran beliau. Ribuan penyokong beliau di seluruh pelusuk tanah air menantikan keputusan beliau dan akan menuruti jejak beliau. Justeru, Husam wajar berhijrah. Amanah pasti sedia memberi ruang untuk Husam berbakti kepada rakyat.
-detikdaily-

Tiada ulasan: