"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa nak jadi, jadilah - Anwar

KUALA LUMPUR 10 Jan. - “Saya sudah 71 tahun, dan sudah masuk dan keluar neraka (penjara) dan masuk lalu keluar semula, jadi saya tidak begitu bimbang tentang masa hadapan.

“Saya tahu orang fikir ahli politik tidak bermaksud begitu, tetapi saya maksudkannya. Que Sera Sera (apa akan jadi, akan terjadi)”.

Begitu ulasan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang kemungkinan beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri walaupun perjanjiannya bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah sebaliknya.

Anwar berkata demikian ketika ditemu ramah portal The Hindu semasa lawatannya ke India, semalam.

Walau bagaimanapun, menurut Anwar, beliau dan pasukannya memberi sokongan penuh kepada kepemimpinan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dan keputusan untuk tidak menetapkan tarikh spesifik untuk menggantikan Dr. Mahathir dibuat oleh beliau sendiri.

“Ya, saya dan Dr. Mahathir telah bersetuju dan parti juga bersetuju yang ia (Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri) tidak akan melebihi tempoh dua tahun (sehingga Mei 2020), tetapi saya nyatakan bahawa adalah penting untuk kita tidak umumkan tarikh (peralihan kuasa).

“Kita mahu Dr. Mahathir memerintah secara efektif dengan sokongan yang penuh, bukan dalam keadaan lemah (lame duck). Kita perlu bersatu dan fokus kepada masalah ekonomi yang serius,” katanya seperti dipetik portal tersebut.

Mengulas lanjut, Anwar turut menegaskan, keputusannya untuk memaafkan Dr. Mahathir atas perseteruan lama antara mereka adalah sukar, bukan sahaja untuk beliau malah untuk ahli keluarganya.

Namun, kata beliau, kebaikan negara harus menjadi keutamaan.

“Saya bukan hipokrit, dan saya akan katakan ia adalah satu keputusan yang sukar dan juga menyakitkan bagi isteri dan anak-anak saya yang sudah banyak menderita. Tapi saya beritahu mereka, kita perlu fikirkan kebaikan negara.

“(Datuk Seri Dr. Wan) Azizah (Wan Ismail) komited mengetuai kempen. Masalah yang dihadapi negara lebih genting berbanding apa yang saya hadapi. Dipenjara, diasingkan, diserang oleh ketua polis, diaibkan secara seksual dan dituduh pengkhianat, semua itu menyakitkan tetapi akhirnya kita menang. Wang, mahkamah dan lain-lain menghalang jalan kami, tapi tiada yang dapat menghentikan kemahuan rakyat,” katanya.

Anwar tiba di India dua hari lalu untuk lawatan selama lima hari bagi mengadakan perbincangan bersama beberapa pemimpin kerajaan serta perniagaan di sana. - UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: