"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Saya dengan Tun Mahathir tiada masalah, tapi ada yang bermuka-muka' - Anwar Ibrahim

Firdaus Azil, Astro Awani
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan beliau langsung tidak mempunyai sebarang masalah dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau meminta semua pihak agar jangan terus mempertikai isu mengenai peralihan kuasa, sedangkan perkara itu telah lama dipersetujui secara konsensus.

“Saya menyedari terdapat berbagai-bagai andaian terkait soal peralihan kuasa yang dipetik oleh media perdana dan media sosial dengan mengandaikan wujudnya pertembungan dalam kalangan pimpinan.

“Saya ingin mengulangi bahawa tidak wujud sebarang pertelingkahan antara saya dan Tun tentang soal peralihan kuasa,” kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Anwar berkata, semua pihak harus memberi ruang dan dukungan untuk mengemudi kerajaan agar agenda besar reformasi oleh Pakatan Harapan (PH) dapat dilaksanakan.

Dalam itu, beliau turut meminta agar Kerajaan PH terus fokus terhadap isu-isu yang menekan dengan meringankan beban rakyat, menyegerakan reformasi institusi dan mengheret mereka yang mencurangi dana awam ke muka pengadilan

“Saya mendukung pernyataan Perdana Menteri Tun Mahathir bahawa kerajaan Pakatan Harapan adalah kerajaan yang kuat.

“Kerajaan sedang bekerja dan berusaha memenuhi janji-janji kepada rakyat Malaysia, dan kerajaan ini adalah kerajaan yang mewakili semua rakyat rentas kaum dan agama, dan menolak sebarang bentuk prejudis dan ancaman mengganggu gugat ketenteraman awam,” katanya lagi.

Anwar turut memberi amaran mengenai kewujudan golongan yang beliau gelarkan sebagai ‘pemuka-pemuka’, dan meminta Pakatan Harapan sentiasa berwaspada.

“Saya menggesa pimpinan untuk berwaspada dengan pemuka-pemuka ini yang lebih senang dengan budaya kronisme, dan cubaan mereka untuk menimbun harta kekayaan, dan mengabaikan keadilan dan kebajikan rakyat,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Tiada ulasan: