"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hubungan Azmin dengan Anwar terjejas?

Anne Muhammad

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menafikan ciapan bernada sindiran berhubung "teguran mengikut saluran dalaman" hari ini menunjukkan hubungannya dengan Anwar Ibrahim sudah terjejas.

“Tidak, Tidak betul (hubungan terjejas),” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui di program di Petaling Jaya, Selangor, hari ini.

Azmin berkata demikian ketika ditanya tentang hubungannya dengan Anwar susulan ciapan di Twitter yang dipercayai cubaan mengusik pihak yang menegurnya kerana membuat bantahan terbuka berhubung pelantikan PKR oleh Anwar selaku presiden.

"Sebaiknya tegur secara dalaman. Banyak platform telah disediakan untuk membuat teguran. Macam pernah dengar. Hehehe," katanya yang membalas ciapan Anggota Parlimen Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

Antara pihak yang menegurnya sebelum ini adalah Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang berkata ‘lebih molek, cantik dan tertib' jika anggota parti itu menggunakan saluran dalam parti jika ada keluhan atau rungutan.

Wan Azizah pula memintanya untuk bertenang dan berkata ada cara lain untuk menyampaikan teguran kepada presiden parti.

Berhubung hubungannya dengan Anwar, Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi turut ditanya tentang laporan The Star Online yang memetik sumber bahawa beliau akan mencabar Anwar pada masa akan datang.

Bagaimanapun beliau meminta semua pihak berhenti menumpukan perhatian kepada hal politik, sebaliknya mengutamakan usaha membangunkan negara pascaPRU ke-14.

'Walau ada yang ganggu pentadbiran Dr M'

"Saya telah buat kenyataan tegas, hentikan perbincangan politik. Rakyat sudah bosan, mereka buat keputusan bersejarah pada 9 Mei lalu.

"Keputusan (mereka) untuk kita tumpu kepada pembangunan negara...Sekarang bukan masa kita bergaduh dalam politik," katanya lagi.

Beliau juga menggesa semua menteri memberi tumpuan terhadap pembangunan negara walau wujud gangguan terhadap pentadbiran yang diketuai Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Walaupun ada pihak tak bertanggungjawab ganggu pentadbiran Dr Mahathir, beliau cekal dan tegas bersama jemaah menteri untuk pastikan pengurusan baik dan bantu rakyat.

“Saya sebagai ahli jemaah menteri bertanggungjawab menyokong penuh kepimpinan beliau sebab kita ada agenda rakyat yang perlu dilakukan untuk lima tahun akan datang, jadi hentikan perbincangan politik,” katanya.

Tiada ulasan: