"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lebai-lebai PAS faham ke apa mamat ni cakap

Jangan kaitkan bencana alam dengan maksiat - pensyarah UKM
Rahmat Haron


Umat Islam di negara ini bakal berhadapan cabaran sukar mengharungi kesan perubahan iklim jika gagal mengubah pola fikirannya (mindset) yang sering mengaitkan bencana alam dengan azab pembalasan akibat maksiat, jelas pensyarah kanan Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir.

"Kita bercakap perubahan iklim sekarang ini kita bercakap kepada mindset.

"Jadi bila cerita balik bumi ini dah tua. Dalam Al-Quran pun ada cakap kerosakan bumi ini akibat tangan manusia sendiri.

"Sebenarnya kita tak boleh cakap yang (bencana alam) itu ialah takdir, azab, sebab maksiat.

“Ok yang itu ialah satu daripada bencana yang Allah bukakan tapi kalau kita sering menggunakan alasan yang macam itu, kita takkan berubah," katanya yang juga Ketua Pusat Sistem Tropika dan Perubahan Iklim di UKM.

Dr Mohd Shahrul yang merupakan pakar bidang kimia alam sekitar bercakap mengenai ajaran asas Islam mengenai kebersihan dalam wawancara di pejabat Malaysiakini, baru-baru ini.

Kebersihan ajaran nabi

"Kadang-kadang saya pun sedih. Bukan saya nak cakap orang menunggang agama. Dalam Islam sendiri pun, apa yang Nabi Muhamad SAW ajar kepada kita ialah kembali kepada ajaran asas iaitu kebersihan.

“Contoh sekarang, saya tengok kadang-kadang saya sedih, orang berhenti buang sampah kat tepi jalan sebab dia tak fikir perubahan iklim, siapa nak fikir pasal itu kan?

"Tapi sebenarnya kita malu, sedangkan orang yang bukan Islam itu lah yang ulama cakap 'aku nampak Islam di negara bukan Islam dan aku nampak orang bukan Islam di negara Islam' maknanya kita bercakap tentang sikap," jelasnya yang pernah menuntut di Jerman dalam pengajian kejuruteraan proses di Brandenburg Technical University of Cottbus.

Bercerita pengalamannya sewaktu belajar di Jerman, Mohd Shahrul berkata yuran pengajian sarjananya (Master) di negara Eropah itu adalah percuma tetapi untuk menyara kehidupannya beliau perlu berdikari bekerja sebagai tukang cuci.

"Saya bukan pelajar (ijazah pertama) cemerlang. Saya ingat lagi saya naik motor ke Jabatan Perkhidmtan Awam (JPA). (Maklum balas mereka) kamu ni pointer CGPA 2.71 UKM macam mana nak dapat biasiswa JPA (ke Jerman)?

"Akhirnya saya cakap kat mak saya, saya nak pergi juga. Saya jual motor saya untuk sampai.

"Di sana saya kerja sebagai tukang cuci untuk menampung kehidupan sebab di Jerman yuran pengajiannya percuma. Jadi semuanya tentang mindset," katanya.

Sepanjang belajar di Eropah berliau berkata masyarakat di sana cukup mengambil berat aspek kebersihan, alam sekitar dan perubahan iklim

Isma, Ikram, PAS bersatu jaga alam

Kembali ke tanah air, Mohd Shahrul menyambung pelajarannya di peringkat doktor falsafah (PHD) di Universiti Malaya, sebelum mengajar di UKM.

"Sebab itu bagi generasi muda, kepada pelajar-pelajar saya, saya akan mulakan asas alam sekitar, kita jaga kebersihan.

“Ini buang sampah merata-rata. Bila buang sampah dekat sungai, parit bila banjir berlaku (akan kena kepada kita juga). Semua ini berkait rapat dengan perubahan iklim," katanya lagi.

Menjelaskan lanjut, Shahrul berkata umat Islam yang berpayung di bawah pertubuhan-pertubuhan, NGO Isma, Ikram atau parti politik PAS perlu bersatu dalam urusan penjagaan alam sekitar.

“Islam ini luas, termasuk hal alam sekitar, perubahan iklim. Ramai saintis awal orang Islam, Al Khawarizmi, Ibnu Sina, Algebra.

“Kita bukan sekadar nak guna Quran, cakap bala-bala padahal kita kena ubah mindset generasi muda. Maknanya kita nak tunjuk akhlak islam. Saya tak suka kita takut dengan bayang-bayang kita sendiri.

"NGO ker, Ikram ker, Isma ker, siapa-siapa, PAS ker, kita patut bersatu dalam hal ini. Kita ni dah nak menghala ke 2020 negara maju tapi pemikiran kita tak maju.

"Asasnya jagailah alam sekitar. Kurangkan pencemaran. Macam tak bagus pakai straw, hal itu pun orang dah melatah,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai pembalakan dan penebangan hutan, Shahrul berkata kegiatan itu perlu dikawal.

“Itu perubahan guna tanah, kita tebang-tebang hutan itu kita buat kebun ke kita buat apa-apa. Sebenarnya yang itu kita patut kawal lah.

"Contoh kawasan tinggi kita tebang dan katakanlah kita bina resort padahal permukaan tanah itu dari segi geologi tak sesuai tapi kita buat juga. Maka berlaku air larian di tanah tinggi yang akan menghasilkan tanah runtuh.

“Kita tebang-tebang hutan semua itu, jadi dari segi suhu akan meningkat sebab tiada pokok. Jadi menyebabkan banyak gas-gas rumah hijau (termasuk gas dan zarahan pencemar) terbebas di udara dan suhu akan naik.

“Tanpa hutan akan memberi kesan pada kawasan tanah rendah jadi boleh berlakunya banjir, apa lagi kalau sistem perparitan kita banyak sampah akan lagi teruklah,” jelasnya lagi.

Menurut beliau, begitu juga dengan hutan paya bakau yang berfungsi sebagai pelindung semulajadi daripada kesan ombak di lautan.

“Sebenarnya perubahan iklim ni boleh menjejaskan ekonomi. Bila kita tengok nelayan, paya bakau kita, ecotourism kita.

“Semua akan menerima kesan akibat kenaikan paras air laut. Maknanya penempatan musnah, semua musnah.

“Malah banjir di Kelantan sekitar tiga empat tahun dulu semuanya disebabkan perubahan iklim,” katanya.

Menurut World Meteorological Organization (WMO) tahun 2018 merupakan tahun yang paling panas sejak 1860.

Dalam laporan tahunan yang dikeluarkan pada 29 November 2018, WMO berkata rekod 20 tahun paling panas berlaku sepanjang 22 tahun lalu ini.

Empat tahun yang paling panas pula bermula sejak 2016 hingga tahun lalu. Antara empat tahun itu, 2018 menjadi pemegang rekod tahun yang paling panas.

“Setiap kenaikan pemanasan walau satu darjah celsius akan mendatangkan kesan terhadap kesihatan manusia serta sumber makanan dan air tawar, kepupusan haiwan dan tumbuh-tumbuhan, kelangsungan terumbu karang dan kehidupan laut,” kata Timbalan Setiausaha Agung WMO Elena Manaenkova.

Tiada ulasan: