"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

AMANAH sasar bertanding 50 kerusi Parlimen pada PRU15

ARIF ATAN

AMANAH menyasarkan untuk bertanding tidak kurang daripada 50 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya AMANAH, Aiman Athirah Al Jundi berkata, sasaran itu mengambil kira beberapa kriteria termasuk kerusi yang telah ditandingi AMANAH pada PRU14.

Jelasnya, AMANAH juga akan meletakkan calon di kerusi yang ditandingi Pas semasa PRU13 tetapi terpaksa dilepaskan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada PRU14.

“Kami juga akan bertanding di beberapa kerusi menang yang telah dikhianati oleh Ahli-ahli Parlimen khianat kurang lebih genap setahun yang lepas,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional berkata, komitmen tertinggi AMANAH tetap kepada kerjasama padu melibatkan semua gabungan parti di dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu khususnya KeADILan dan DAP.

Dalam masa sama, katanya, AMANAH juga terus bekerjasama dengan rakan-rakan parti pembangkang yang mendukung aspirasi perjuangan bersama iaitu membina semula negara untuk kesejahteraan setiap warganegara di seluruh negeri dan wilayah.

Perjuangan bersama tersebut juga, ujarnya, termasuklah memerangi rasuah di semua peringkat khususnya yang telah berakar dalam pentadbiran awam itu sendiri.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Negara berkenaan menegaskan Malaysia perlu diletakkan kembali ke landasan yang betul, sama ada daripada aspek ekonomi mahupun aspek sosial.

“Setiap rakyat berhak menerima perkhidmatan yang terbaik, bukan sebaliknya berterusan menjadi seolah-olah pengemis dalam negara merdeka yang mereka sendiri  memilih pemerintah mewakili kepentingan mereka.

“Politik Malaysia perlu diberikan wajah dan nafas baharu, yang memberikan tumpuan dan penekanan kepada politik nilai dan politik khidmat, menggantikan politik perkauman, fitnah, adu domba dan kebencian agama,” tegasnya.

Justeru, Athirah mengingatkan tumpuan mesti diberikan kepada politik khidmat setiap pemerintah dan ahli politik bagi membangun negara serta setiap konstituensi yang mereka wakili.

“AMANAH dan Pakatan Harapan berpegang teguh kepada semua prinsip itu. Usaha telahpun kita gerakkan sebelum ini dan ternyata rakyat bersama kita memberi Harapan sehinggalah para pengkhianat menunjukkan wajah mereka,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: