"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah umum rancangan ‘sekat air’ di Sungai Muda

FMT Reporters

ALOR SETAR: Kerajaan negeri mengumumkan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang akan menakung air di beberapa kawasan di sungai itu, berkemungkinan boleh menyebabkan bahagian selatan sungai kering dan menjejaskan Pulau Pinang.

Projek itu akan memastikan Kedah mempunyai bekalan air mencukupi sepanjang musim kemarau, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, ia akan menstabilkan permukaan air Sungai Muda ketika musim kemarau.

Katanya, baraj baharu juga akan dibina untuk menstabilkan paras air Sungai Muda, bagi memastikan pam-pam Syarikat Air Darul Aman (SADA) tidak tergantung, khususnya ketika kemarau akibat kekurangan air.

Terdapat 14 TAPS, setiap satu kawasan takungan besar, berkedalaman 20 hingga 30m dengan lebar sehingga 1km.

Sanusi berkata, TAPS akan dimulakan tahun ini dan pihaknya sudah mengenal pasti kontraktor untuk melaksanakannya.

“Dulu masa buat projek tebatan banjir kelebaran sungai ditambah menyebabkan paras air turun, projek itu tidak disekalikan dengan menjajarkan semula kedudukan pam di rumah-rumah pam sepanjang Sungai Muda, akibatnya ia tergantung (semasa air kurang),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, menurut laporan Bernama.

Beliau berkata, selepas paras air Sungai Muda dapat distabilkan, kapasiti pengaliran air dari sungai itu akan dapat dikawal pada masa depan.

“Peruntukan (untuk TAPS) daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sebab ia berkaitan air mentah, kena bagi geran. Projek ini bukan sahaja faedah untuk kegunaan atau minuman Kedah sahaja, kerana Kedah bekalkan 42% padi untuk negara, jadi sumber air ini untuk pertanian juga.

Sementara itu, mengenai kenyataan beliau sebelum ini yang membayangkan kemungkinan Pulau Pinang terpaksa menggunakan “air selut” jika kerajaan negeri itu berkeras enggan membayar caj air mentah kepada Kedah, katanya ia bukanlah satu ugutan.

“Saya maklumkan supaya mereka bersedia sebab kita akan buat projek TAPS. Air Sungai Muda sewaktu banyak kita akan takung, ada 14 TAPS, setiap satu kawasan takungan besar, kedalaman 20 hingga 30m dengan lebar sehingga 1km.

“Jadi Pulau Pinang kena bersedia dengan keadaan ini, kecuali dia berpakat dengan kita (kerajaan Kedah)…Kita kena rancang untuk elakkan mereka minum lumpur (selut), kalau tak pakat dan tak buat bayaran (caj air mentah), kita rancang untuk kita sahajalah,” katanya.

Beliau berkata, Kedah tidak pernah menutup pintu rundingan dengan Pulau Pinang mengenai isu bekalan air, dan akan sentiasa mengalu-alukan perbincangan untuk menetapkan kadar caj bekalan air mentah.

“Kita bukan tutup pintu (rundingan) pun, kita sentiasa tersenyum untuk berunding tentang bayaran air mentah tu, bukan tak mau bagi (air), nak bagi, tapi kena bayarlah sebab kita ada (kos) penyelenggaraan untuk kawasan tadahan,” katanya.

Tiada ulasan: