"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pilih kasih

 Frankie D'Cruz

Juruterbang syarikat penerbangan S Mani Vannan (kiri) kesal kerana kerajaan tidak bersimpati terhadap keadaan keluarganya namun memberikan Santhara Kumar ‘layanan istimewa’.

PETALING JAYA: Seorang juruterbang syarikat penerbangan yang merayu untuk menjalani kuarantin di rumah supaya dapat menjaga ibunya yang menderita akibat kanser, kecewa apabila permohonannya ditolak Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

S Mani Vannan, juruterbang Singapore Airlines, berkata penolakan itu sangat mengecewakan memandangkan dia meminta pengecualian sejak awal bulan lalu dan sudah melakukan tujuh ujian reaksi rantai polimerase (PCR) Covid-19 dan mengambil suntikan vaksin di republik itu.

Beliau berkata, ibunya yang disahkan menghidap kanser payudara, memerlukan penjagaan sepenuh masa kerana perlu menjalani kemoterapi dan radioterapi selama tiga minggu.

“Saya perlu menjaga ibu kerana adik-beradik lain sibuk dengan keluarga dan bekerja,” katanya.

Dia pulang ke rumahnya di Kulai, Johor, pada 1 Mac apabila selesai menjalani kuarantin selama tujuh hari di sebuah hotel di Johor Bahru.

Mani Vannan memberitahu FMT, dia mendedahkan pengalamannya dengan harapan kerajaan akan menunjukkan simpati kepada rakyat Malaysia yang mengalami situasi sama.

Dia tidak membantah undang-undang bahawa setiap orang yang pulang dari luar negera harus menjalani kuarantin di hotel atau pusat kuarantin ditetapkan kementerian.

Bagaimanapun, dia kecewa apabila timbalan menteri Wilayah Persekutuan Santhara Kumar, baru-baru ini dibenarkan menjalani kuarantin di rumah selepas bercuti selama 55 hari di New Zealand. 

Santhara sebelum ini melakukan perjalanan yang menimbulkan kontroversi ke New Zealand untuk melihat keluarganya ketika sekatan perjalanan Covid-19 berkuat kuasa.

Kementerian Kesihatan berdiam diri berhubung pelepasan yang diberikan kepada Santhara walaupun kerajaan dikecam teruk atas sikap pilih kasih terhadap ahli politik dan rakyat biasa.

Mani Vannan turut mempersoalkan Noor Hisham melalui e-mel: “Bagaimana kami dapat mempercayai anda apabila anda mempertaruhkan nyawa rakyat dengan membiarkan Santhara melakukan kuarantin di rumah? Adakah Santara mengatasi undang-undang?”

Mempersoalkan ketidakadilan itu, Mani Vannan berkata: “Beritahu saya betapa tegasnya anda dan itu adalah penting dalam mematuhi protokol Covid, tetapi anda masih mengamalkan sikap pilih kasih.

“Saya telah menjalani tujuh ujian Covid sebelum datang ke Malaysia dari Singapura, saya diberi vaksin dan saya tunjuk kepada anda betapa tegasnya Kementerian Kesihatan di Singapura terhadap juruterbang dalam hal kuarantin.

“Tidak ada kes Covid-19 di Singapura ketika saya memohon pengecualian semasa menunjukkan keputusan ujian saya.”

Mani Vannan mengulas jawapan diberikan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) kementerian terhadap permohonannya untuk menjalani kuarantin di rumah pada 6 Feb lalu.

CPRC, dalam surat penolakannya pada 22 Feb menyatakan: “Syarat untuk kuarantin adalah wajib bagi semua rakyat Malaysia dan bukan warganegara yang pulang dari luar negeri walaupun mereka membawa sijil vaksinasi Covid-19 kerana vaksin masih baru.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa vaksin ini tidak boleh dijadikan satu pelepasan untuk pengecualian kuarantin.”

Tiada ulasan: