"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

1MDB:Muhyiddin digesa perjelas dakwaan Bersatu terima komisen RM500 juta

SITI NUR ZAWANI MISCON

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengakhiri sikapnya yang terus membisu berhubung dakwaan yang mengaitkan kerajaan telah membayar komisen sebanyak RM500 juta kepada partinya kerana membantu mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs.

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berkata, pentadbiran Muhyiddin terus menerus memperlihatkan sikap seperti pemerintahan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak sebelum ini yang suka berselindung disebalik alasan ‘kerahsiaan’ untuk menyembunyikan kebenaran.

Beliau berkata, Muhyiddin perlu berterus terang tentang dakwaan membabitkan partinya itu kerana maklumat tentang bayaran kepada peguam berprofil tinggi sama sekali tidak dilindungi di bawah akta kerahsiaan dan orang ramai berhak mengetahuinya.

“Meski lantang dikritik oleh pembangkang dan orang  awam, kerajaan Muhyiddin tetap menolak untuk mendedahkan syarat-syarat penyelesaian dengan Goldman Sachs, yang sememangnya tidak memuaskan.

“Walaupun kerajaannya mungkin telah menandatangani perjanjian tanpa pendedahan (NDA) dengan Goldman Sachs, namun bayaran yang telah dibayar 1MDB kepada para peguam profesionalnya tidak tertakluk di bawah NDA dan boleh dinyatakan kepada rakyat Malaysia.

“Kegagalan untuk melakukannya hanya akan memperlihatkan legasi Muhyiddin akan turut dicemari seperti yang dimiliki oleh Najib,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada semalam, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menafikan dakwaan parti itu melantik ejen untuk mengambil komisen kerana membantu Putrajaya mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs.

Ia selepas ADUN Kuang, Sallehudin Amiruddin membuat laporan menggesa polis menyiasat dakwaan RM500 juta dibayar kepada sebuah parti politik melalui seorang peguam berprofil tinggi.

Bagaimanapun, Wan Saiful menafikan dan berkata parti itu tidak terlibat dengan perbuatan kotor kerana sudah menjadi asas parti itu ditubuhkan antaranya memperjuangkan integriti dan tadbir urus yang telus.

Pua kemudiannya membidas kenyataan Wan Saiful dan berkata, sekiranya ia benar-benar mengenai pentadbiran yang telus, mengapa kerajaan Muhyiddin bersembunyi di sebalik alasan ‘kerahsiaan’.

Beliau turut membangkitkan kemungkinan timbul keraguan baru di mana kerajaan mungkin tidak telus dalam menangani kes 1MDB dan Goldman Sachs yang menurutnya penyelesaian antara dua pihak pada tahun lalu adalah tidak bersih.

Jelasnya, ketika pentadbiran Pakatan Harapan, mereka sentiasa memastikan bahawa perincian penting dari semua kontrak dan perjanjian, terutama harga untuk projek-projek mega tersedia untuk diteliti oleh masyarakat.

“Seperti kata pepatah Melayu, ‘berani kerana benar’.  Namun, kerajaan Perikatan Nasional bersikap sama seperti pentadbiran Najib dengan menyembunyikan rahsia dan melindungi kepentingan,” ujarnya.

Tiada ulasan: