"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Annuar hurai 7 sebab Umno berpecah

Malaysiakini 

Bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa menyenaraikan tujuh sebab yang dipercayainya sebagai faktor kepada wujudnya perpecahan yang berlaku dalam parti itu.

Anggota parlimen Ketereh itu berkata, sebagai 'pemain' yang berada di tengah-tengah gelanggang dia tertanya-tanya apakah yang tidak kena kepada Umno pada masa kini, kenapa dan sejak bila.

"Antara jawapan yang saya perolehi, bermula apabila Umno kembali menjadi kerajaan, ada yang teramat kecewa mereka tidak terpilih menyertai kabinet dan mereka mulakan rentak yang berbeza.

"Kedua, apabila anak buah berada dalam kerajaan tetapi 'bos besar' di luar kerajaan, wujud dua kluster. Ketiga, sejak kes-kes di mahkamah tidak memihak kepada yang didakwa dan dirasakan kerajaan tidak membantu," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Sebagai rekod, mutakhir ini dilihat berlaku pertembungan dalam kalangan pimpinan Umno khususnya selepas parti itu memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

Pertembungan itu dilihat berlaku antara pemimpin yang berada dalam kerajaan PN dan mereka yang di luar kerajaan.

Sementara itu, jawapan keempat disoroti Annuar adalah bahawa perpecahan itu berlaku sejak pertemuan sulit bulan Ogos atau Sept sebelum pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang dikatakan sebagai percubaan menjatuhkan kerajaan PN, dengan menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim pada 11 Okt tahun lalu .

Menurutnya, pertemuan itu membelakangi keputusan parti untuk menolak kerjasama dengan Anwar dan DAP.

Selain itu katanya, perpecahan itu juga wujud sejak pertemuan sulit 17 Okt 2020 di sebuah rumah sekitar Ampang yang melibatkan pimpinan parti dan pemimpin PH disusuli beberapa perbincangan lain bertujuan menjatuhkan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin

"Setelah percubaan menukar kerajaan PN melalui 'menarik tikar di bawah kaki' yang gagal dan membawa kepada era proklamasi darurat pandemik.

"Ketuju, satu gerakan dilancarkan dengan meminta Umno bahagian membuat usul menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU15 sebagai strategi menjayakan jajaran baru dan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 dirancang untuk menjadikan medan membatalkan jajaran asal yang telah diputuskan majlis tertinggi berkali-kali," jelasnya.

Sehubungan itu tegas menteri wilayah persekutuan itu, berlakulah pertembungan dua aliran pemikiran dalam kalangan pemimpin dan bahagian bahagian.

"Jajaran baru yang condong kepada kerjasama dengan PH, lawan jajaran asal yang condong kepada kerjasama dengan PN. Saksikan episod seterusnya," kata Annuar.

Tiada ulasan: