"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno tak akan bersama PKR tanpa tawaran besar

Zikri Kamarulzaman

Dalam perhimpunan agungnya hujung minggu ini, Umno dijangka akan secara rasmi memutuskan hubungan dengan Bersatu bagi PRU akan datang.

Pada masa sama, Presiden PKR Anwar Ibrahim juga berbincang secara tidak rasmi dengan Umno - dipercayai melibatkan presidennya Ahmad Zahid Hamidi - berhubung kemungkinan bekerjasama.

Bagaimanapun Umno kemungkinan tidak akan menjadikan PKR sebagai rakan kerjasama sebaik memutuskan hubungan dengan Bersatu - kecuali ia melibatkan tawaran yang tinggi nilainya.

Ada pihak mendakwa Zahid dan para pemimpin lain yang berdepan perbicaraan di mahkamah mungkin akan terlepas daripada hukuman jika dapat membantu Anwar ke Putrajaya.

Namun bagi kalangan yang lain dalam parti itu, tidak banyak kelebihan yang akan diperolehi daripada kerjasama dengan PKR dan PH.

"Cabaran besar buat Zahid untuk meyakinkan 'kluster menteri' untuk bersama PKR dan PH, terutamanya kerana mereka tahu jika kerjasama itu berjaya, ia akan menipiskan peluang mereka untuk mengekalkan jawatan sekarang," kata penganalisis politik Rabi'ah Aminudin kepada Malaysiakini.

Kluster menteri merujuk kepada menteri Umno yang cenderung mengekalkan hubungan dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) ekoran pelantikan dalam kerajaan.

Rabi'ah berkata golongan sederhana dalam parti itu juga sukar untuk menerima kerjasama itu kerana ia akan meletakkan Umno dalam kedudukan tidak dominan.

"Jika Umno sekapal dengan PKR dan PH, mungkin akan ada pertembungan di kalangan pemimpin akar umbi bagi merebut kedudukan atau pencalonan dalam pilihan raya," katanya lagi.

Pemerhati politik Tyra Hanim Razali juga setuju yang hanya minoriti dalam Umno yang cenderung ke arah kerjasama dengan PKR dan PH.

"Memandangkan ada cakap-cakap yang PRU sudah dekat, sejumlah pemimpin akar umbi dalam Umno pastinya mahu menggunakan kelebihan sebagai parti dalam kerajaan untuk lebih banyak kerusi dan bangkit daripada kekalahan dalam PRU sebelumnya.

"Memahami bagaimana Umno bergerak, saya tak fikir Zahid mampu (meyakinkan parti untuk menerima PKR) tanpa membuat tawaran balas kepada 'kluster menteri', sekurang-kurangnya pada masa ini.

"Bagaimanapun, percaturan pada masa ini mungkin berbeza sama sekali dengan ketika PRU15," katanya lagi.

Spekulasi Zahid akan menyokong Anwar diperkatakan sejak ahli Parlimen Port Dickson itu berkata dia memiliki sokongan majoriti pada September tahun lalu.

Bagaimanapun, pada ketika itu dan juga semasa pengundian Belanjawan 2021, Zahid tetap tidak mengubah sokongannya kepada Anwar.

Di pihak PKR pula, Rabi'ah dan Tyra berkata lebih mudah untuk parti itu dan PH untuk bekerjasama dengan Umno jika mereka dapat meyakinkan para penyokong dengan naratif "musuh bersama".

"Ada kemungkinan undi sedikit terjejas, tetapi pengundi kebanyakannya bertindak berdasarkan sentimen. Sebelum ini berkaitan 1MDB, kali ini tentang 'kerajaan pintu belakang' dan kegagalan mereka untuk mentadbir secara berkesan di tengah-tengah wabak," kata Tyra.

Satu tawaran yang mungkin dapat menarik Umno adalah untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru di 25 kerusi Bersatu, yang sebelum ini dimenangi Umno atau PKR.

Sumber PKR membayangkan ia mungkin antara perkara yang dibincangkan oleh kedua-dua parti.

Perkara ini mungkin lebih memberi manfaat kepada Umno berbanding PKR dalam usaha merampas semula kerusi mereka yang berpaling tadah kepada Bersatu, memandangkan kerusi yang terlepas daripada tangan PKR kebanyakannya di kawasan propembangkang.

"Jika Anwar dapat meyakinkan parti PH lain, Umno mungkin akan bersetuju," kata Rabi'ah.

Satu lagi kemungkinan kerjasama PKR-PH dan Umno adalah jika tiada yang mendapat majoriti jelas pada PRU akan datang.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berkata senario seperti itu mungkin akan membawa kepada kerjasama dan gabungan baru.

Bagi Rabi'ah, jika ia berlaku, Umno atau Bersatu akan mempunyai kedudukan paling kuat untuk membentuk gabungan.

"Saya tidak melihat kerjasama jangka panjang antara Umno dan PKR-PH sebagai kerajaan.

"Saya tetap melihat kembalinya parti Melayu - sama ada Umno atau Bersatu - sebagai pemerintah, kerana orang ramai pesimis dengan kemampuan PH untuk mentadbir dan rapuhnya gabungan politik tanpa parti berasaskan kaum. Politik Malaysia masih lagi berasaskan kaum.

"Ini bermakna jajaran politik yang paling berkemungkinan adalah dengan PAS, GPS dan parti kecil lain seperti Gerakan, MIC dan MCA," katanya lagi.

Tyra pula yakin PH akan mempunyai kelebihan jika mereka bertanding di lebih banyak kerusi, berbanding mengharapkan parti sekutu di luar gabungan.

Katanya, lompat parti masih boleh berlaku dalam mana-mana gabungan yang dibentuk sebelum atau selepas pilihan raya.

"Mana-mana gabungan sukar bertahan tanpa undang-undang lompat parti, kecuali gabungan itu menang majoriti dua pertiga di Parlimen," katanya lagi.

Tiada ulasan: