"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Saya akan tembak depa’, netizen ugut ADUN PKR

Predeep Nambiar

Tangkap layar ugutan terhadap ADUN Batu Uban, Kumaresan Aramugam daripada PKR.

GEORGE TOWN: Seorang ADUN Pulau Pinang membuat laporan polis hari ini, susulan ugutan seorang pengguna Facebook akan “tembak depa” selepas melihat sebuah keluarga miskin menerima bantuan makanan daripada sebuah NGO di kawasannya.

Pengguna bernama “Hashim Rastaman” itu menyerang ADUN Batu Uban, Kumaresan Aramugam dengan mendakwa beliau tidak membantu golongan miskin dan NGO perlu melakukan tugasnya sebagai wakil rakyat.

“[…] Kalau jumpa dengan YB dan MPKK , saya akan tembak depa dulu kerana menyengsarakan rakyat,” demikian menurut catatan Hashim.

Susulan ugutan itu, Kumaresan membuat laporan polis dengan berkata, beliau bimbang mengenai keselamatan diri dan keluarganya.

Beliau berkata, pengguna Facebook itu turut berbohong dengan mendakwa beliau “mencuri tanah dan kenikmatan rakyat”.

“Rumah yang menerima bantuan daripada NGO itu selalu dibantu pusat khidmat saya. Kami mempunyai rekod untuk menyokongnya, tiada isu siapa yang dipinggirkan,” katanya kepada FMT.

Klip video dalam catatan Facebook menunjukkan seorang ahli Penggerak Komuniti Tempatan menyerahkan bantuan makanan kepada keluarga yang menjalani kuarantin Covid-19.

Timbalan Ketua PKR Pulau Pinang, Sim Tze Tzin berkata, jenayah kebencian sedemikian perlu ditangani segera memandangkan polis mempunyai lebih banyak kuasa ketika darurat.

“Mengugut wakil rakyat ialah perkara serius. Terdapat ugutan dahulu, tetapi mereka sudah berhenti. Kenapa ugutan itu muncul kembali, kami tidak tahu.

“Pihak berkuasa perlu bertindak segera untuk menghalang pihak lain membuat kenyataan tidak tahu malu dalam talian.”

Catatan Facebook itu ialah klip video selama 27 saat oleh Persatuan Demi Rakyat Pulau Pinang yang menunjukkan ahli Penggerak Komuniti Tempatan (PekT), M Navalingam menyerahkan bantuan makanan kepada keluarga menjalani kuarantin Covid-19 di Kampung Sungai Nibong Kecil, Pulau Pinang.

Menurut catatan itu, tidak ada ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau Kumaresan yang melawat keluarga itu. MPKK membabitkan pemimpin tempatan yang dilantik kerajaan negeri untuk membantu akar umbi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong mengesahkan pihaknya menerima dua laporan polis.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan ugutan jenayah tanpa nama, serta penyalahgunaan internet mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tiada ulasan: