"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zahid Hamidi Bakal Dipecat 27 Mac Ini?

Shahbudin Husin 

Secara rasmi, apa yang semua orang faham, Perhimpunan Agung UMNO atau PAU pada 27 dan 28 Mac ini antara agenda utamanya adalah untuk mengesahkan ketetapan putus hubungan parti itu dengan Bersatu bagi menghadapi PRU15 akan datang.

Ia berikutan majoriti UMNO bahagian-bahagian telah meluluskan usul putus hubungan itu dalam mesyuarat masing-masing sebelum ini.

Oleh kerana isu putus hubungan itu dalam bentuk usul, meskipun ia kemudian diterima dan dipersetujui oleh MT UMNO, ia perlu dibawa ke PAU untuk disahkan bagi menjadikannya suatu ketetapan yang muktamad.

Tetapi, berikutan Bersatu tidak senang dengan usul tersebut dan sedar mereka tidak mampu menang sebarang kerusi dalam PRU15 jika tanpa ada kerjasama dengan UMNO, pelbagai usaha telah dilakukan bagi mengubah keputusan itu.

Setelah pelbagai usaha yang ke arah itu sebelum ini tidak menemui kejayaan, langkah terakhir yang cuba dilakukan ialah melalui PAU pada hujung bulan ini.

Dengan itu, PAU kali ini secara tidak rasmi turut menjadi medan bagi puak kiri dalam UMNO yang pro Bersatu untuk mengubah ketetapan putus hubungan tersebut.

Makna kata, akan berlaku pertembungan dalam PAU kali ini antara urusan rasmi untuk mengesahkan usul putus hubungan dengan Bersatu dengan urusan tidak rasmi bagi tujuan mengubah keputusan tersebut.

Diberitakan usaha tersebut sudah dikesan sejak dua tiga minggu lalu dan didalangi oleh beberapa pemimpin UMNO sendiri yang diketahui pro kepada Bersatu dan Muhyiddin Yassin.

Ada laporan mengatakan mereka juga sudah mula bergerak ke negeri-negeri bagi mempengaruhi pewakilan agar menolak usul putus hubungan dengan Bersatu.

Alasan mereka ialah UMNO perlu terus bekerjasama dengan Bersatu dan PN dalam PRU15 bagi memastikan kemenangan lebih terjamin, selain membesar-besarkan kedudukan PN sebagai kerajaan lebih mempunyai sumber kewangan yang mantap berbanding BN yang terhad kemampuannya.

Berdasarkan gerakan yang dijalankan, termasuk mempengaruhi jurucakap negeri-negeri agar menyampaikan ucapan yang senada dengan keinginan untuk melihat UMNO dan Bersatu kekal bekerjasama, ada maklumat mengatakan ramai yang dikatakan mula terpengaruh dan condong bersetuju untuk mengubah usul putus hubungan itu.

Kiranya gerakan ini berjaya akhirnya, ia bukan saja suatu tamparan kepada masa depan UMNO dan kedudukan Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO, bahkan suatu kejayaan besar buat Muhyiddin dan Bersatu dalam memastikan survival politik mereka.

Lebih tersenyum lebar dengan kejayaan itu nanti tentunya adalah Kumpulan Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali dalam Bersatu yang secara tidak langsung bermakna UMNO akhirnya terpaksa tunduk hormat serta memberi laluan kepada mereka.

Di sebalik itu, suatu gerakan tidak rasmi lain yang lebih besar dan utama, namun tidak disedari banyak pihak yang dikatakan turut dirancang dalam waktu yang sama ialah untuk menyingkirkan Ahmad Zahid Hamidi daripada kedudukannya sebagai Presiden UMNO.

Usaha menyingkirkan Ahmad Zahid ini adalah tindakan fasa kedua setelah gerakan mengubah keputusan putus hubungan dengan Bersatu berjaya dilaksanakan.

Mengikut apa yang dirancang, selepas pengundian untuk menentukan sama ada UMNO setuju atau tidak putus hubungan dengan Bersatu, sekiranya kejayaan memihak kepada kumpulan kiri yang pro Bersatu itu, satu usul tergempar lain akan dikemukakan untuk “memecat” Ahmad Zahid dengan serta-merta.

Perkiraan mudah mereka, jika usul putus hubungan dengan Bersatu yang telah diluluskan bahagian-bahagian dan MT pun berjaya diubah, maka dengan sendirinya selepas itu tindakan melucutkan jawatan Ahmad Zahid juga akan turut jadi mudah.

Dengan berjaya menyingkirkan Ahmad Zahid pada PAU hujung bulan ini, maka akan sempurnalah gerakan untuk Bersatu menguasai UMNO sepenuhnya.

Adakah Ahmad Zahid menyedari sepenuhnya gerakan ini atau beliau tetap merasakan dirinya masih popular serta beranggapan sebarang gerakan untuk mengubah ketetapan putus hubungan itu sesuatu yang mustahil dilakukan?

Ingatan buat Ahmad Zahid, kalau Ahli-Ahli Parlimen pun ada tanda harga yang boleh “dibeli”, apakah harga perwakilan UMNO begitu mahal nilainya? (Shahbudindotcom 20/03/2021)

Tiada ulasan: